Jurnal 41 : Hari Kedua....
14 Jamadil Akhir 1443 dari hijrah ar rasul
Hari pertama menaiki bas ke pejabat cawangan. Seawal Subuh, penulis dan putera bungsu telah keluar dari rumah. Usai menghantar ke sekolah dimana masih belum kelihatan kelibat murid di awal pagi subuh yang masih kelam, penulis memecut kenderaan menuju ke CP di pekan satelit yang berjarak kira² 20 ke 23 km. Jam di dashboard menunjukkan angka 6.27 am.
Keadaan trafik adalah agak baik meski muncul sahaja kereta² yang suka mengambil angin pagi di waktu gawat manusia lain terkejar² akan impian dunianya...
Dalam hati hanya mampu berdoa agar Allah melipat bumi kepada hambaNya yang daif ini agar dapat bersegera tiba di CP. Penulis dengan izinNya jua berjaya tiba di CP sekitar jam 6.47 am. Dan sebagai orang yang pertama kali, terpusing² mencari CP sebenar....
Maka setelah ditemui dimana lokasinya adalah lain daripada yang difikir dan dimaklumi, penulis masih sempat keluar dengan tenang dari kenderaan, mengambil beberapa barang untuk dibawa ke pejabat baharu ..
Bas tiba di CP sekitar jam 7 barangkali kerana penulis tidak berkesempatan untuk menjeling jam digital hitam yang melilit tangan kiri dek kerana terlalu teruja untuk menaiki bas menuju ke pejabat cawangan.
Sebelum itu selepas membaca dan meneliti beberapa pandangan ulama, penulis layak untuk masuk kategori musafir bagi mendapat kemudahan jama dan qasar...
Memasuki perut bas buat pertama kali menyaksikan kebanyakan tempat duduk telah diduduki secara sigle. Mata tercari² lokasi kosong sesuai maka bersua dengan tuan haji N.
Disepanjang perjalanan yang memakan masa sekitar 50 minit, hanya diisi dengan perbualan yang menyebabkan terasa sekejap cuma berada di dalam kenderaan 45 penumpang tersebut. Melangkah turun memijak bumi bertuah pejabat cawangan untuk kali kedua di sepanjang perkhidmatan penulis dengan organisasi ini, agak terpana seperti rusa masuk kampung lagaknya. Mujurlah bos baharu sudah berada di hadapan buat penyuluh jalan. Selepas mengetik kehadiran yang menunjukkan pukul 7.54 am, penulis mengekori bos memasuki jentera pengangkat menuju ke pejabat baharu di aras tiga.
Masuk di pintu kaca pejabat, maka kelihatan sebuah pejabat yang berpermaidani sebagaimana pejabat di ibu negara juga kelihatannya. Tiada sesiapa yang berada di dalam bangunan pejabat melainkan penulis dan bos sahaja.
Bos membawa penulis ke kafeteria yang mempunyai hanya tiga pilihan kedai sahaja. Seusai menikmati sarapan pagi, kami kembali ke pejabat. Tatkala itu, Mr C sedang menyiapkan kabel penyambungan internet. Memandangkan bilik kecil penulis tidak mengandungi port untuk internet dan juga elektrik, maka kedua² sumber perlu ditarik dari luar bilik. Penulis ditempatkan di sebuah bilik kecil. PC, meja dan kerusi telah disediakan meski bersifat sementara kerana menurut bos, perabot baharu akan ditempah. Begitu juga dengan PC.
Penulis juga dibawa melawat ke wing kedua untuk diperkenalkan kepada para petugas senyor. Agak malang kerana kebanyakan bertugas mengambil cuti rehat pada hari ini. Mungkin sebagai penyambungan cuti memandangkan keesokan harinya adalah merupakan hari cuti umum. Oleh yang demikian, lawatan yang sepatutnya menjadi taaruf awal tidak dapat dijayakan. Hanya Mr H sahaja yang berada di tempatnya. Itupun beliau telah diarah bertukar ke pejabat lain.
Menghadap bos untuk mendapatkan keterangan berkaitan tugasan dan tanggungjawab baharu. Sememangnya jawatan penulis adalah jawatan baharu di pejabat tersebut. Ini bermakna segala yang disediakan adalah baharu dari segi teknikal, tetapi tidak dari segi kerja kerana kerja² penjawat terdahulu juga digalas di atas batu jemala patik. Penulis dipertanggungjawabkan untuk amanah kewangan, harta benda, hal ehwal pelanggan dan juga core buss dalam organisasi. Penulis sebenarnya pernah diamanahkan untuk menjayakan core buss juga sebelum ini selama lima tahun di pejabat lain. Oleh itu, mungkin sedikit sebanyak pengalaman ada berbaki dalam tempurung kepala penulis atau tersimpan dalam cakera lembut penulis. Sekurang²nya masih tahu beberapa istilah penting serta dapat menggambarkan sedikit sebanyak perkara berkaitan.
Mesyuarat pertama secara atas talian di pejabat baharu adalah merupakan yang pertama di pejabat tersebut berkaitan dengan pengurusan anugerah kepada pelanggan. Penulis hanya menjadi pendengar sahaja memandangkan terpaksa menggunakan HP sendiri dek kerana PC yang dipinjam tidak boleh dipecahkan kod kata kuncinya.
Seusai mesyuarat, Mr C dan MR H cuba untuk merungkai masalah dengan menukarkan PC pinjam dengan PC pinjam lain yang menganggur. Ini adalah satu solusi terbaik. Tanpa terduga muncul pula Mr Y yang merupakan rakan sejawat di pejabat sebelum ini yang menguruskan core buss.
Berita kematian mantan bos penulis mula berlegar di wassap tatkala itu. Beliau adalah merupakan ketua pusat tatkala penulis pertama kali melapor diri selaku staf di organisasi ini. Penulis bekerja dengan beliau selama lebih kurang dua atau tiga tahun sahaja kerana beliau bertukar ke organisasi lain. Beliau merupakan seorang yang sangat teliti dalam kerja. Bayangkan, untuk mendapatkan tandatangan beliau bagi sekeping surat pun terpaksa keluar masuk bilik beliau beberapa kali...Moga Allah meluaskan kubur beliau dan menggantikan dengan kehidupan yang lebih baik...
Menjelang waktu zuhur, penulis menuju ke musalla seperti tunjuk arah yang diberikan oleh Mr C secara umum. Saiz tidaklah sebesar yang dibayangkan namun tidaklah juga sekecil yang dibayangkan...
Seusai urusan di musalla, bergerak mencari sesuatu untuk dimasukkan ke dalam abdomen memandangkan usus perut mula bergerak² dan berteriak lemah menginginkan sesuap makanan...Maka lokasi kafe pag tadi sahaja yang boleh meredakan kemarahan sang perut dan konco²nya.
Disini ada kata² ajaib dari seseorang yang menjadi misteri untuk difikirkan bersama. Dia berkata,
"Sekarang ni kalau seseorang tak kena C19 maknanya dia tu pelik. Bukan orang yang kena yang dianggap pelik..tapi yang tidak pernah kena.."
Penulis tidak menyanggah kenyataan tersebut ketika itu. Hanya terfikir akan kebenaran atau kebenarannya sahaja.
Masuk ke pejabat pada separuh masa kedua, bos telah mengarahkan penulis untuk menyertai mesyuarat kedua secara atas talian. Sebaik masuk, agak lemau juga kerana perbicaraannya agak sukar difahami kerana tidak ketahuan hujung pangkalnya. Terpaksa juga google meet dengan salah seorang sahabat seperjawatan Mr S untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut. Mr S sudah tujuh tahun dakwanya berada dalam pengurusan core buss organisasi. Satu tempoh yang cukup lama dan panjang serta matang. Begitu mudah dan jelas sekali pencerahan yang dibuat oleh beliau. Baharulah penulis dapat menangkap maksud sebenar mesyuarat tadi.
Terlanjur ber GM, maka selepas mendapat penerangan, perbualan berkisar tentang pelbagai perkara yang lain.
Sekitar jam 5.00 petang, kami berkumpul untuk menunggu bas pulang ke kediaman masing². Ini adalah perkara yang agak unik bagi penulis. Apabila berkumpul maka dapatlah kita bertukar pandangan dan idea dikalangan semua golongan.
Kesimpulan :
- Penulis dapat merasai nikmat bersyukur dimana meskipun ditempatkan di lokasi jauh, namun sebenarnya diberikan nikmat dari segi kos penjimatan kerana adanya kemudahan pengangkutan yang disediakan;
- Anggaran kasar sekiranya menaiki kenaikan sendiri, kereta dengan cc 1.5 ialah RM1,100 perbulan dengan kadar servis kereta meningkat setiap dua bulan setengah anggaran RM500 sekali servis. Ini bermula secara anggaran kasar kos yang perlu ditanggung setahun ialah RM15,700.00
- Dengan menaiki bas pergi dan balik secara umumnya boleh berehat sebelum bertugas dan juga selepas bertugas, bergantung kepada tahap kesihatan seseorang juga;
- Keadaan di pejabat cawangan adalah lebih tenang. Pada mulanya penulis sendiri gagal untuk mempercayainya. Namun selepas ada pengalaman sehari sudah cukup untuk mengakui bahawa ketenangan itu wujud di sini..
Ulasan