kisah-kisah buli - zaman IPTA
5 Jamadil Akhir 1443 dari tahun hijrah ar rasul 84 hari menjelang Ramadhan
Bukan hanya setakat di sekolah SBP, buli juga adalah satu budaya yang bermain di sekitar institusi pengajian tinggi. Ianya juga dibuat secara terancang dan juga tidak terancang. Secara formal dan juga tidak formal.
Melangkah masuk ke salah sebuah IPTA, kini dikenali sebagai UA yang tersohor di seantero dunia. Sesi MSR, yang kedengaran lunak dan berbau islami itu hanya alat propaganda untuk menghalalkan buli secara teknikal.
Seawal malam pertama sang siswa siswi telah dibuli dengan acara menghafal lagu institusi. Tapi sayang, bukan lagu yang formal. Sungguh aneh bukan?
Kemudian, diedarkan kertas dengan arahan mendapatkan tandatangan kesemua OC (Orientation Committee) dengan alasan mencari kemesraan. Kaedah kedengaran mudah tetapi untuk mendapatkan tandatangan setiap OC banyak karenah yang perlu ditempuh. Tidak dinafikan, ada OC yang menjunjung tinggi nilai Islami. Sekali minta, tidak dihampakan. tetapi ada yang terpaksa ditemui berkali². Perlu memenuhi permintaannya dahulu yang pelik lagi aneh. Wal hasil, hingga tamat MSR, lantaklah tak perlu dilanggani..
Hampir setiap malam selama seminggu, masuk tidur selepas jam 12 tengah malam dan dikehendaki berkumpul di dataran pada jam 5 pagi!!. Dengan pasukan yang beratus orang, maka acara mandi di pagi hari menunggu giliran harus bermula se awal jam 3 pagi?
Maka ada sahabat yang mandi sebaik sahaja naik ke bilik pada jam 12 tengah malam, memakai pakaian sukan dan tidur. Jadi esok pagi, hanya perlu menggosok gigi, memakai stokin dan kasut dan seterusnya turun ke lokasi...mudah
Acara riadah petang juga dicarik oleh insiden buli. Pernahkah kita terbayang untuk diarah berjalan itik menaiki bukit? Hai...dah besar panjang tapi diperlakukan seumpama itik lagi?
Kemuncak buli pada MSR ialah pada beberapa malam sebelum berakhir dimana kami ditahan untuk tidur kononnya kerana ditemui kotak rokok di dalam tandas. Kesemua OC yang berwajah garang dan 'dibenci' menunjukkan belang dengan memekik, mengherdik dan pelbagai aksi ringan, sebelum memaksa kami mengangkat lurus kedua-dua tangan ke arah langit malam yang mendung selama hampir satu jam!! Kami dipaksa untuk mengaku merokok. Gagal memaksa, beberapa orang dipanggil masuk ke bilik. Meraka hanya disyaki sebenarnya..
Tapi beberapa bulan selepas itu, kisah tersebut tetap menjadi bualan. Dan ironinya, tiada siapa pun sebenarnya yang kantoi merokok. Mereka hanya ingin mencipta satu suasana atau fenomena sahaja. Itulah buli namanya.
Sebaik tamat MSR, adalah sedikit kelegaan. Namun sebenarnya, apabila senyor kembali pulang, kelegaan itu sirna begitu sahaja. Ada permainan baharu yang menanti.
Tatkala beratur mengambil makanan, ditegur oleh seorang senyor, "Mat...malam ni datang bilik aku ...blok#1221.."
Hampir kesemua sahabat mendapat jemputan terhormat untuk berkunjung ke bilik senyor. Maka perjalanan ke dewan makan bagi junior adalah pengalaman yang menakutkan sebenarnya. Takut keteguran dek senyor yang mencari mangsa.
Ada junior yang rela hadir. Ada juga yang takut. Tidak kurang yang menyembunyikan diri di bilik. Hasilnya, selepas jam 9 malam, atau awal lagi, junior akan mematikan lampu bilik, lampu laluan dan mengunci pintu. Nah, senyor yang kelaparan dan bernafsu untuk membahan junior kegelisahan. Ada yang datang ke kawasan penempatan junior, menghentak pintu dan membuat keriuhan. Namun suasana sepi tanpa tindak balas.
Makan tengahari kisah² pengalaman di panggil senyor menerjah di kalangan junior. Tidak dinafikan, ada dikalangan senyor yang melayan dengan baik. Mungkin mereka memang hendak bertaaruf dengan junior. Tapi kaedah tidak menghalalkan cara. Jika anda ingin bertaaruf, maka datanglah ke kawasan junior. Perkenalkan diri. Bersembang dalam bilik junior. Tak dek masalah. Ni anda ingin berkenalan dan bertaaruf, yang hendak dikenal dipanggil ke bilik? Kaedah apa yang dipakai?
Dan akhirnya, penulis terkena juga. Meski telah merancang dengan begitu rapi bersama rakan². Sanggup selepas isyak iktikaf di masjid sehingga jam 11 malam. Tapi akhirnay terkantoi jua.
Ini berlaku pabila terserempak dengan senyor yang dahulu satu sekolah. Penulis yang menegur dahulu. Akhirnya dipelawa ke bilik beliau. Maka datanglah penulis dengan suci hati. Maybe nak bersembang kisah lama. Memang pada awalnya kisah lama. Tetapi tiba² masuk beberapa orang senyor lain. Maka berlakunya aktiviti permainan. Penulis dijemput ke bilik lain.
Dibilik tersebut, ada ramai lagi junior yang terpanggil. Maka ada aktiviti disuruh menyanyi, disuruh menghadap seorang senyor seperti tatacara menghadap sulthon, dan pelbagai lagi. Hingga jam 4 pagi, baharulah dilepaskan pulang.
Terfikir semula, selepas puluhan tahun, buli pada waktu tersebut ternyata lebih baik dari buli yang terjadi kini hingga mengakibatkan kehilangan nyawa. Namun, sebenarnya ia tidak mendatangkan faedah apapun. Nak kata berkenalan dan bertaaruf, selepas itu kita nampak senyor yang melakukan tu kita pandang kecil besar kecil besar sahaja ...huhu. Tak dek pun rasa hormat atau ingin merapatkan silaturrahim...
Wallahu a'lam
Ulasan