Lawatan ke Masjid Tengkera
9 Rajab 1443
Penulis berada di bumi Hang Tuah bermula malam 8 Rajab atas tuntutan kerja. Bermukim di bumi bersejarah di salah sebuah hotel di tengah-tengah kota Melaka. Hotel yang kelihatan dari gambar seolah meriah dan ceria serta hebat namun hakikatnya sunyi dan mandom..
Apabila check-in masuk ke bilik, ianya adalah sempit dan kurang selesa hatta untuk solat berjamaah pun agak sukar. Tidak seperti yang digambar. Membuka lampu toilet, dengan secara tiba² satu lampu terpadam sendiri. Mujurlah hanya di bahagian shower sahaja yang tidak berlampu.
Program pembuka malam berterusan dengan taklimat dan juga sedikit sesi soal jawab. Anggota program kelihatan sangat bersedia dan begitu bersemangat untuk menyelesaikan tugasan. Sekitar jam 11 malam, baharulah ada tanda program akan ditangguhkan sementara menanti waktu dhuha Jumaat keesokan harinya.
Penulis dan isteri bergegas keluar di malam kelam mencari sesuatu untuk mengisi kekosongan perut. Penulis tidak pula menjamah hidangan di restoran hotel seperti yang telah disediakan.
Dengan hanya berpandukan google maps di HP usang, penulis 'berjaya' menemui sebuah kedai makan yang bermodalkan perkataan tom yam di pinggir jalan berhampiran stesen bas lama yang sudah tidak digunakan lagi. Pertanyaan pertama yang perlu diselesaikan dengan pemilik kedai sebelum membuat pesanan ialah,
Boleh bayar guna debit tak?
Boleh bayar guna transfer bank..
Ok...maknanya tak perlu mencari bank untuk pengeluaran tunai. Dewasa ini majoriti kedai boleh dibayar perkhidmatan mahupun benda tanpa tunai. Transaksi ini sepatutnya diperluaskan. Ada pelbagai medium pembayaran tanpa tunai. Paling cikai rasanya ialah dengan pindahan wang secara atas talian.
Seusai makan, penulis dan isteri bergerak pulang ke hotel
"Alahai...beg tangan saya.."
Aduh...begitulah ...jika barang yang dijinjing tercicir. Mujurlah pabila kembali ke kedai makan, beg masih ada dan segala isi tidak berubah..
Acara pagi Jumaat 9 rajab dimulakan dengan mencari masjid terhampir bagi menghadiri jemaah Subuh. Dengan aplikasi google maps.
Aplikasi ni..kadang² agak mengecewakan. Namun penulis istiqamah berkawan dan menunggangnya tanpa jemu. Maybe kerana penulis tidak gembira dengan aplikasi penunjuk arah lain.
Inilah yang berlaku dimana penulis tersasar juga mencari masjid terhampir. Masjid Pengkalan Rama Melaka. Jemaah agak ramai menghampira empat saf. Masjid lama yang diberikan nafas baharu. Imam muda dan bertenaga. Permaidani hijau mengingatkan suasana di raudah Masjid Nabawi. Penghawa dingin terpasang lengkap di subuh hari dengan keadaan covid-19 yang masih belum terkawal sepenuhnya...
Seusai Subuh, mendapatkan sarapan pagi untuk keluarga yang bakal menunggu di dalam bilik hotel sementara penulis akan menghabiskan masa menyelesaikan pemukiman...
Seusai pemukiman sekitar jam 12 tengahari, bergegas ke bilik. Isteri dan anak merancang untuk keluar. Penulis menghantar mereka ke lokasi yang diminta sementara penulis merancang solat Jumaat di masjid tengkera melaka.
Tatkala tiba diperkarangan masjid, baharu teringat..terlupa membawa sajadah sendiri. Namun selepas menemui parkir kenderaan, penulis bertekad untuk masuk sahaja ke dalam perut masjid bersejarah tanpa membawa sejadah.
Masjid tua berusia lebih 300 tahun itu amat nyaman dan mempunyai aura tersendiri. Meskipun agak sempit, jamaah yang mengunjunginya ramai namun seolah ia mampu menampung keseluruhan yang hadir.
Apa yang menarik di sini ialah peringatan agar jamaah tidak bersembang semasa khatib berkhutbah dibuat LEBIH AWAL sebelum imam naik ke mimbar, berbeza dengan masjid lain, khususnya di selatan yang beriya² untuk memberi peringatan tersebut sebelum imam berkhutbah, iaitu selepas azan kedua.
Khutbah yang disampaikan oleh khatib muda juga agak bersemangat dan ironinya penulis tidak tertidur di sepanjang penyampaian khutbah berjalan.
Seusai program pada sebelah petang, selepas Asr, penulis sempat menuju ke kg morten di tepian sungai untuk menikmati makan malam. Harga agak berpatutan dan dapat melihat pelancong menaiki bot bersiar² menyusuri sungai Melaka yang bersejarah. Penulis bayangkan semasa tahun 1511 dimana kapal² portugis masuk ke muara sungai Melaka dan bagaimanakah agaknya perasaan warga negara Melaka tatkala itu?
Azan Maghrib yang melantun gemanya di celah² bangunan hotel pencakar langit di tebing sungai Melaka seakan azan di Makkah yang berkeadaan hampir sama dari segi kewujudan hotel yang memenuhi ruang.
Subuh keesokan pagi, penulis masih sempat ke tengkera sebagai lawatan wida sebelum berangkat pulang. Tatkala tiba, sudah masuk ke rakaat kedua. Ahli jamaah agak ramai dan masjid kelihatan segar dan mempunyai aura yang tersendiri.
Kepada Allah diserah segala urusan
Ulasan