Catatan Syawal 1443
4 Syawal 1443
Kekecohan pada malam terakhir Ramadhan di kalangan warga Tanah Melayu dek kerana pengumuman Sang Pemegang Mohor begitu hangat di medsos. Iyalah...perkara yang julung kali berlaku, khususnya kepada netizen yang rata² hidup selepas era 90an sememangnya mengundang kepelbagaian reaksi, kadangkala dangkal hipotesisnya, namun tetap di muat naik mungkin dengan nawaitu melepas geram di dada, atau seqadar mengongsi kelompongan medium awana.
Bagi golongan yang berpengalaman 'menikmati' tarikh 1 syawal secara mengejut, kehadiran hilal di lokasi cerapan Labuan dan Langkawi tidaklah begitu menggoncang...kerna sebelum tahun 90an, kejadian sambutan hari eid secara mengejut bukanlah sesuatu yang menjadi isu besar...
Malang sekali kerana pada tahun² terkini, manusia semakin berani mengkritik hatta yang melibatkan kuasa berkaitan keagamaan.Walhal Al quran secara jelas telah menerangkan mengenai perkara ini.
Sambutan satu syawal bagi penduduk daerah tengah semenanjung emas adalah seumpama biasa dengan permulaan bacaan takbir pada malam hari sejurus selepas pengumuman oleh sang penyimpan mohor keudara di media massa...Cuma malam satu syawal tahun ini dipenuhi dengan aktiviti di dapur bagi yang telah bersedia awal dengan bahan mentah, dan aktiviti ke pasar mentah bagi mereka yang belum bersedia dan beriman sepenuhnya dengan kalendar kuda yang tergantung megah di dinding rumah tanpa sedar mereka mengetawakan kita yang terlalu mengambil mudah dengan ramalan nakal mereka saban tahun...
Menjelang subuh, bilangan jamaah yang menghadiri masjid agak berkurangan berbanding di sepanjang Ramadhan. Dan apabila melalui kawasan tanah perkuburan sewaktu hendak menghadiri jamaah eid, suasana di situ begitu 'meriah' dengan kunjungan waris yang mungkin ingin berkongsi 'suasana gembira' bersama sanak saudara yang telah masuk ke alam barzakh.
Penulis menghadiri solat eid di masjid jame daerah tengah. Jamaah tidaklah memenuhi keseluruhan ruang dewan solat yang disediakan. Mungkin pertambahan masjid di serata daerah telah menyebabkan pilihan untuk menghadiri solat hari raya semakin banyak.
Seperti biasa selepas selesai solat eid, hanya rumah mertua sahaja tujuan untuk berhari raya. Sudah beberapa tahun begitu. Lagipun rumah kami tidaklah sejauh dua atau se marhalah. Belum sempat habis meneguk setin air pepsi black sudah pun kereta menjalar di perkarangan rumah mertua.
Cumanya tahun ini tiada acara bergambar di halaman rumah mertua. Mungkin masing² masih terkejut dan disibukkan dengan mertua masing² pula yang bertungkus lumus mengemudi masakan di hari lebaran.
Ziarah hanya bermula seusai solat Zohor. Rumah pertama ialah besan mertua yang juga terletak berhampiran. Kemudian terus masuk ke beberapa rumah bapa saudara isteri yang berselerakan di kawasan tengah.
Menjelang senja, aktiviti ziarah pun berakhirlah sudah....
Menjelang dhuha 2 syawal 1443, penulis sekeluarga bergerak menuju ke rumah bapa saudara yang terletak di daerah para wali. Perjalanan ke daerah tersebut yang hanya sejauh 60km menjadi terlalu lama sehingga kami hanya berjaya tiba selepas mentari condong dari tengah langit yang cerah dan ceria.
Kunun di situ sekejap cuma, tapi nampaknya terlajak hingga menjelang asar. Banyak perkara yang diperbualkan. Al maklumlah, bapa saudara baharu setahun meninggal dunia dalam Ramadhan 1442 yang lepas. Ibu saudara masih terparut sedih di mata dan hatinya.
Seusai Asar, kami meninggalkan perkarangan rumah tersebut dan bergerak ke lokasi lain yang merupakan rumah ibu saudara sebelah almarhum ayahanda. Sepanjang ayahanda bernafas, jarang sekali kami menuju ke situ. Tetapi sejak beliau kembali ke alam barzakh, agak kerap kami melangkah ke sana. Semasa al marhumah bonda masih ada lagi, sejak zaman penulis bujang menaiki motor yamaha merah plat jdb 744 lagi, penulis telah membawa almarhumah bonda ke rumah tersebut.
Rumah itu adalah yang paling besar pada zamannya. Dikatakan sudah berusia 150 tahun lebih. Ibu saudara adalah merupakan isteri kepada al marhum Jamil Bin Salleh, abang kepada al marhum Kamisan bin Salleh, bapa penulis. Ibu saudara penulis itu adalah merupakan anak kepada pemilik asal, yang juga mewarisi dari beberapa keturunannya.
Ziarah kami berakhir di rumah tersebut. Menjelang senja, kami bertolak pulang ke teratak kami semula.
Ulasan