Kembara Ke Serambi Mekah dan Madinah

 25 Zulhijja 1443

Jumaat 8 Zulhijjah mengikut tarikh di Semenanjung Emas dan juga kepulauan borneo sebagaimana yang telah ditetapkan oleh penyimpan mohor besar Raja-Raja Melayu apabila mereka bersepakat untuk menyatakan akan terbitnya anak bulan zulhijjah pada 1 Julai lalu ...Meskipun hari itu adalah hari arafah di padang arafah Makkah Al Mukarramah yang membolehkan para hujjaj mendapat haji akbar, namun ianya sedikitpun tidak menggusarkan para penguasa agama di tanah air ini..

Penulis dan keluarga memulakan musafir sekitar waktu dhuha. Kami bergerak melalui jalan Mersing dan sekitar jam 10 pagi, kami telah masuk ke simpang ke bandar mersing yang agak padat menuju ke satu-satunya bulatan yang wujud di bandar tersebut..

"Emmm..hari ini dalam sejarah ni. Tak pernah jumpa Mersing sesak sebegini..." getus penulis.

Jam 10.30 pagi, sebagaimana yang dirancang sejak berminggu² sebelumnya, penulis menunaikan sarapan pagi di salah sebuah restoran Melayu yang menyajikan pelbagai juadah yang separa sipa pada waktu sebegitu. Sekarang sudah ada tag harga yang memaparkan satu ceduk bernilai RM1.00. Nampak telus dan berintegriti. Ketika parkir kenderaan yang dibawa, betul² dipintu keluar dihadapan hotel, ada jualan beberapa longgokan durian yang membawa aroma harum. Ada nawaitu hanya untuk bersarapan durian, tetapi dibatalkan memandangkan anak² begitu teruja untuk menikmati sarapan pagi ala Melayu-pasca PH...

Meskipun tiada lagi menu sarapan yang tersedia melainkan hanya berbentuk lauk-pauk separa siap untuk santapan tengahari, maka tanpa segan silu kami memulakan langkah menjadi pelanggan pertama menikmati makan tengahari pada Jumaat 8 Zulhijjah bertepatan dengan hari wukuf di padang arafah. Maka bolehlah dianggap makan tengahari dijamak sekali dengan makan pagi pada hari itu.

Seusai menjamu, penulis berjalan kaki laju menuju ke DIY untuk membeli sarung penutup muka yang merupakan antara bahan terpenting yang menjadi sunnah yang jarang ditinggalkan sejak wabak C19 melanda megah di bumi bertuah ...

"sekarang ni memang kerap jammed ke kat Mersing atau hari ni je" Penulis memulakan bual bicara dengan petugas kaunter untuk menghilang rasa jemu.

"Hari-hari..." jawabnya acuh tak acuh.

Bandar Mersing kami tinggalkan dengan menikmati kesesakan sehingga ke hujung dan sekitar jam 11 pagi, baharulah perjalanan menjadi agak selesa menuju ke Endau.

Masuk ke sempadan negeri Pahang, banyaklah sekolah yang ditemui di kiri dan kanan jalan. Agak jakun juga kerana di hujung negeri, hari Jumaat hari cuti, meski ada kedengaran suara nakal untuk kembali berhujung minggu di hari Sabath dan Ahad, sebagai langkah penyeragaman cuti katanya. Pelik juga apabila sang pemerintah terpaksa akur dengan kehendak para pedagang dan penjual yang berkeras untuk berhujung minggu di hari² kebesaran Yahudi dan Nasara, padahalkuasa itu ditangan siapakah?

Menjelang zawaal Jumaat, nawaitu awal untuk berjumaat di masjid Pekan Pahang bandar diraja yang merupakan kawasan parlimen bosskur. Namun, dek kerana kesesakan yang berlaku di jalan dua hala yang kelihatan seperti separa siap, hanya mampu ber Jumaat di masjid tepian jalan jua. 

Khutbah oleh sang khatib agak bersemangat, maklumlah muda dan gagah kelihatannya. Tiada serangan mengantuk yang hinggap di mata. Antara isi yang menarik ialah pesanan agar umat terus mempertahankan kerajaan yang ada untuk mengelakkannya jatuh ke tangan kafir...

Doa sulthon juga tidaklah panjang berjela di khutbah yang kedua yang mana sangat ringkas tanpa perlu memperpanjangkan nama para khalifah. Seolah mirip kepada bacaan teks khutbah kedua di dua tanah haraam. Mungkin di tanah hujung semenanjung, bacaan teks yang menyerupai dua tanah haraam dianggap menyerupai satu kumpulan yang dicop sesat dan bukan dari kalangan ahli sunnah wal jamaah...

Seusai jama , penulis dan anak lelaki bergegas menuju kekenderaan bagi meneruskan musafir. Sekitar jam 3 petang, penulis masuk ke bandar diraja Pahang yang kelihatan sudah semakin membangun dan maju berbanding 20 tahun lepas tatkala penulis bersekolah di situ. Berbeza dan menakjubkan.

Selepas berjaya mengambil foto di bahagian hadapan sekolah lama, penulis memecut kenderaan menuju ke Kuantan. Singgah di salah sebuah stesen minyak untuk menyelesaikan hajat ... perjalanan diteruskan menuju ke serambi madinah. Kami masuk melalui lebuhraya pantai timur (LPT) menuju ke ibu negeri serambi madinah. Perjalanan dijangka sejauh 200 km lebih dan menelan masa 2 jam 30 minit.

Sekitar waktu maghrib, kami menemui lorong keluar dari LPT. Hujan agak lebat membasahi bumi dengan keadaan sesak di pintu keluar. Al maklumlah hari raya kan...







Cuaca sudah gelap tatkala kami masuk ke ibu kota serambi madinah. Singgah makan malam di salah sebuah lokasi berdekatan hotel penginapan. Makanan dijual agak mahal. Secucuk satey berharga RM1.90??

Ibu kota serambi Madinah itu sangat menyeronokkan, lebih² lagi pada keheningan Subuh. Meski berada di surau pinggiran bandar, yang jika di tanah hujung semenanjung, surau seumpama itu hanya diimami oleh imam tua bersuara garau, atau serak² dengan bacaan surah pendek, namun di ibu kota serambi madinah, imam yang ada dari kalangan hafiz. Sejuk dan damai sekali...

Menjelang dhuha, kami bergerak menuju ke pasar payang. Manusia agak ramai tetapi tidaklah terlalu sesak. Dapatlah membeli beberapa perkara. Hala tuju pada hari ini ialah ke serambi Makkah iaitu pasar siti khadijah. Kami melalui jalan kampung menyusuri tepian pantai untuk tiba ke destinasi idaman, sejauh 200 lebih km juga dan mengambil masa hampir dua jam untuk tiba.

Kami berjaya tiba di pinggir pasar Khadijah menjelang akhir zuhur. Kami singgah di masjid muhammadi untuk jama. Suasana masjid begitu tenang, damai dan nyaman. Cuaca di luar begitu perit seolah berada di kota suci makkah lagaknya. Dek kerana masa yang terbatas, seusai jama, kami kembali ke pasar siti khadijah yang pada waktu tiba, ianya sudah hampir ditutup waktu perniagaannya.













Kami kemudian singgah di salah sebuah kedai menjual wangian dari Yaman. Kemudian mencari lokasi makan malam. Berjaya juga menemui restoran melayu yang menghidangkan makan malam menu melayu pada petang hari raya korban.

Seusai menikmati hidangan, kami meneruskan perjalanan ke destinasi asal, di jertih untuk menghadiri walimatul urus sepupu penulis. Kami tiba di lokasi sekitar jam 8 malam dalam hujan yang agak lebat. Ada sedikit jamuan berupa buah durian.

Kemudian kami dihantar masuk ke homestay yang tidak terjaga. Kebetulan masjid adalah terletak di hadapan jalan raya besar berhampiran.

Home stay berupa rumah di atas kedai, atau boleh juga dinamakan sebagai sebuah rumah kedai. Pintu dibuka dan terbentang tangga menaiki aras atas. Terdapat tiga buah bilik yang masing² ada disediakan dengan tandas dan peralatan shower mandi. Kami sekeluarga memilih untuk tidur sebilik di bilik yang paling besar dengan dua set katil queen (?). Bilik air juga lebih besar, NAMUN, shower tidak berfungsi langsung tanpa boleh mengeluarkan walau setitik air. Dibilik yang paling hujung, ada shower bersama pemanas lama. Tatkala dicuba, air boleh panas. Berkali² penulis menekan punat mencuba atau test untuk memastikan alatan pemanas benar² berfungsi. Kisah² kematian akibat renjatan elektrik yang berpunca dari alat pemanas air yang tidak diselenggara dengan baik memenatkan minda untuk berfikir dengan lebih positif disepanjang mandi.

Dek kerana kepenatan, maka mudah sekali penulis melelapkan mata. Sekitar jam 4.30 pagi, apabila alarm dari HP berbunyi, tersedar dari mimpi dan hanya bangun untuk membuang air kecil. Tatkala kembali ke atas katil, ternampak seekor lipas merayap di hujung lantai bersebelahan pintu tandas.

Subuh di masjid seberang jalan raya utama tersebut mengandungi bilangan jamaah yang agak memberangsangkan. Imam adalah dari kalangan huffaz muda dan bertenaga. Solat eied diumum pada jam 8 pagi, berbeza di negeri tanah hujung kebiasaanya pada jam 8.30 pagi. Penulis bergegas mencari stesen minyak berdekatan bagi meendapatkan bekalan air mineral. Mujurlah ada yang hampir.

Seusai solat kembali ke home stay dan bersiap untuk solat eid. Malangnya, kami agak lewat. Masjid sudah memulakan solat tatkala kami tiba. Maka kami bergerak kunun untuk mencari sarapan pagi. Sudah semestinya tiada kedai yang dibuka pada hari raya. Hatta kedai makanan segera sekalipun. Mungkin hanya KFC yang dibuka, dan kami menunggu namun tidak dibuka sehingga kami agak kecewa, walau dipaparkan waktu operasi seawal jam lapan pagi, namun pintu dimangga dan apabila dijenguk, bahagian kitchen bercahaya. Nak dikata mereka pergi solat hari raya, imam pun rasanya dah balik ke rumah sambil makan juadah raya di hadapan televisyen. Boleh jadi pekerja menyertai ibadah korban.Sekurang²nya berilah notis seperti restoran pizza hut disebelah yang memasang notis operasi bermula jam 10 pagi...

Akhirnya, ditemui juga sebuah gerai atau warung melayu yang dibuka...pada pagi hari raya eid adha. Warung yang menyajikan makanan masakan panas. Orang rumah pula diserang seram sejuk seperti hendak demam dek kerana makan durian malam kelmarin sambil disirami renjisan air hujan ditokok bau asap penghisap rokok tegar dan disulami dengan persekitaran home stay yang terbiar.

Berkebetulan ada kedai 24 jam yang dibuka dihadapan warung yang baharu sahaja dibuka sebenarnya jam 10 pagi. Maka sepapan panadol dibeli buat pengubat demam...

Kami kembali semula ke home stay dan bersiap untuk menghadiri majlis walimah dan seterusnya berangkat pulang. Penulis sempat melelapkan mata hingga menjelang jam 12 tengahari. Berkebetulan pula hari agak sejuk akibat dari hujan lebat malam kelmarin..

Selepas selesai bersiap, kami turun dan masuk ke kereta. Masalah timbul dimana pintu home stay tidak boleh dikunci. Apabila boleh kunci, kunci pula gagal dicabut. Maka terkial-kial membetulkan keadaan. Apabila melihat pekerja kedai cat yang membuka kedai bersebelahan pintu masuk home stay, penulis meminta bantuannya. Penulis bercakap telo bahasanya seperti mana kebiasaan kami berurusan dengan mereka di tanah hujung selatan. Ternyata jawapan yang diberikan dalam dialek tempatan tanpa ada loghat bangsa berasal pun...itulah uniknya serambi madinah...

Selepas urusan kunci selesai, kami bergerak menuju ke lokasi walimah. Sayangnya, tiada siapa yang ada di situ dari kalangan rombongan keluarga. Kami menjenguk ke home stay mereka ..nampaknya mereka sedang berehat dan pengantin dikatakan sedang disolek. Bagi mengisi kelompangan masa, kami bergerak menuju ke masjid lapan kubah yang dikatakan unik ..







Masjid terletak di kawasan perkampungan yang dikelilingi sawah padi. Hampir menjelang zuhur, dan kami tergesa² kembali ke majlis walimah. Rupanya pengantin sudah pun tiba.

Mereka agak berbeza menerima menantu. Tiada kompangan apalagi muzik mendayu. Pengantin kelihatan duduk² sahaja menyambut tetamu. Tiada songket yang berhias di badan pengantin, apalagi tengkolok di kepala atau keris tersisip. Namun pelaminan tetap wujud di dalam rumah.

Sehingga jam tiga petang kami di situ. Berkebetulan pula rakan sejawat isteri yang telah agak lama tidak ditemui sudi untuk datang. Ada keajaiban berlaku dimana rupa²nya tuan rumah dan suami kepada rakan penulis ada hubungan keluarga yang sudah lama tidak bertemu muka.

Seusai walimah, kami dijemput pula ke rumah rakan sejawat isteri. Hanya sebentar cuma, kami akhirnya meneruskan perjalanan untuk pulang semula ke tanah hujung selatan.

Kami berhenti solat jamak di masjid bandar permaisuri dan kemudian meneruskan perjalanan masuk ke ibu kota serambi madinah sekali lagi. Kami menyelesaikan solat maghrib dan isya di masjid putih. Seusai solat badan terasa lemah dan malas serta berkeinginan untuk check in sahaja untuk satu malam lagi di seri malaysia. Namun, anak² tidak berapa setuju. Masih lagi bernafsu untuk singgah di shopping kompleks. Malang sekali, ianya ditutup kerana sambutan eid...sesuatu yang tidak pernah berlaku di negeri hujung tanah






Penulis berazam melalui LPT dan keluar di gambang lalu masuk ke segamat. Untuk balik melalui jalan mersing di tengah malam bukanlah satu pilihan yang baik...

Lebuhraya LPT dari ibu negeri serambi madinah hanya berakhir di gambang Pahang sahaja sejauh perjalanan 242 km selama hampir tiga jam. Agak seronok memandu laju di LPT hingga mencapai 160km. Kenderaan tidak sesak seperti melalui lebuh raya plus utara selatan.

Hujan agak lebat menyambut ketibaan kami di Gambang. Melalui jalan yang agak berliku dan gelap hingga akhirnya tiba di muadzam shah pahang. Berehat sebentar menghilang lelah dan kantuk, perjalanan diteruskan masuk ke segamat melalui felda redong. Jalan adalah tidak begitu baik dan banyak rosak.

Kami sekeluarga selamat tiba di halaman rumah sekitar jam 2.30 pagi menepati ramalan di google map. 

Syukur....





Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol