Riwayat motorsikal ku
23 Zulhijjah 1443
Sudah agak lama tidak menulis di sini akibat kekangan masa. Kesibukan menjalani kehidupan dunia sementara telah menyekat kebebasan untuk menulis berkaitan pengalaman diri buat dikongsi oleh semua.
Penulis pertama kali menunggang motosikal sendiri ketika di tingkatan dua rasanya. Itupun mencuri-curi guna motosikal almarhum ayahanda di suatu tengahari tatkala beliau tertidur kepenatan bekerja. Penulis mencuba menghidupkan enjin motor dan cuba menggerakkannya. Itupun tidaklah terlalu jauh bergerakannya.
Penulis akhirnya menerima hadiah dari datuk ketika selesai mendapat keputusan SPM. Tatkala rakan² penulis majoritinya mendapat tawaran ke IPTA, penulis masih termanggu² menunggu keputusan yang pastinya tidak akan kunjung tiba. Masa itu, hanya mengharapkan kedatangan abang posman berkunjung ke halaman rumah bersama motosikal berwarna merah. Tiada sistem untuk mendapatkan keputusan awal melalui e mail atau apa² sahaja, meskipun sms, walau ianya telah wujud tatkala itu.
Maka penulis telah 'diminta' memohon kerja. Setelah mendapat pekerjaan yang sesuai, atuk telah memberikan hadiah sebuah motosikal Yamaha SS110. Mungkin ianya motor yang terkini sekitar tahun 90 an. Motor berwarna merah dan begitu gah sekali. Penulis menungganginya untuk bekerja. Dengan hanya memakai lambang L kerana baharu sahaja mendapat lesen untuk belajar, ianya telah dibawa berlari dari Machap-daerah tengah hampir setiap hari. Pernah sekali, mungkin kerana terkena air dek hujan lebat,motor tersebut mengalami kerosakan dan plug menjadi basah. Almarhum ayah yang membetulkannya walau dengan leteran, tetapi ianya berjaya disiapkan hanya dalam satu malam sahaja.
Apabila penulis mendapat tawaran ke ITM pada 1993, penulis tidak membawa motor itu bersama, kecuali semasa tahun 1995 dimana penulis bertugas dalam program MSR (kemasukan pelajar baharu). Penat sebenarnya menunggang motosikal dari daerah tengah ke ITM ...
Motor tersebut terus berkhidmat kepada penulis disepanjang penulis bertugas di pejabat agama sehinggalah pada penghujung tahun 2004, dimana motor tersebut telah didapati hilang meskipun hanya diletak dihadapan rumah. Ianya gagal ditemui sehingga hari ini meskipun laporan polis telah dibuat. Amat malang sekali apabila terdapat saman yang datang ke peti surat rumah penulis sekitar tahun 2005 di Pontian kerana dikatakan memandu tanpa topi kaledar padahal laporan polis telah dibuat pada 2004 berkaitan kehilangannya. Sukar sangatkah untuk membuat keputusan dan pemerhatian?
Sekitar tahun 2006, setelah berjaya mendapat bayaran hasil pengeluaran KWSP, penulis sekali lagi membeli motorsikal yamaha 125zr secara tunai !!
Maka melaramlah penulis dengan motor tersebut. Isteri penulis pula sedang mengandungkan anak yang kedua tatkala itu. Hanya sekali sahaja dia dapat bersama penulis bersiar² dengan motor baharu. Belum pun sempat untuk servis yang pertama, motor tersebut telah hilang pada malam pertama Ramadhan di perkarangan masjid jame. Penulis masih ingat, seusai solat isya, tanpa menyertai jamaah tarawih, tatkala keluar semula dari perut masjid, motor sudah tiada di lokasi parkir.
Penulis menumpang salah seorang jamaah pulang ke rumah. Kemudian bergegas² menuju ke balai polis untuk membuat aduan. Malang sekali, sehinggalah artikel ini ditulis, motor tersebut masih menjadi misteri.
Lebih malang ialah, kunun kerana hendak berjimat, penulis hanya membeli insuran 3rd party sahaja. Ini menyebabkan kehilangan motor tidak dapat diganti...
Dan penulis akhirnya tidak memiliki motor buat beberapa ketika. Sekitar tahun 2011 rasanya (sudah lupa), penulis membeli sebuah motosikal 2nd hand milik adik ipar jenis kriss yang agak baharu.
Namun seperti mitos biasa yang dikumandangkan, barangan yang berjenama negara jarang dapat bertahan dengan baik, ianya mengalami kerosakan dan tersadai agak lama di pinggir rumah almarhumah bonda.
Akhirnya, motor tersebut dibeli oleh abang ipar kepada adik ipar penulis, namun hingga saat ini juga, nama motor tersebut tidak ditukar...
Hingga kini...masih tiada motor yang sudi menjadi rakan penulis...
Ulasan