JURNAL II : KEHIDUPAN SHAH PEKAN 1992
Seawal jam 5 pagi, aku dan rakan-rakan junior form-four sudah bangun. Tidur malam tadi juga tidak berapa enak. Al maklumlah, tilam dan bantal tidak sama dengan apa yang ada di rumah. Senior lain kelihatan masih asyik beradu di atas katil masing-masing. Kami bergerak dalam kesamaran. Lampu tidak ada siapa yang berani hendak hidupkan.
Di bilik air, suasana agak sibuk dengan wajah-wajah junior. Memang tiada seorang senior pun yang mahu bangun seawal itu. Kami menjadi golongan awal yang begitu bersemangat. Entahlah semangat itu hanya untuk hari pertama sahaja atau berterusan sehingga ke hari terakhir persekolahan kelak.
Seusai mandi, kira-kira jam 5.30 pagi, kedengaran loceng dibunyikan oleh seseorang. Ini diikuti oleh suara daripada bawah melalui heller untuk mengejutkan seluruh warga kampus SBP.
“Bangun!! Bangun !!” perkataan itu diulang entah berapa puluh kali melalui heller. DIselang seli dengan bunyi siren dan juga loceng. Hingar bingar dan gegak gempita ruang asrama sebelum subuh dipenuhi oleh tiga jenis suara. Kemudian, ditambah lagi dengan ketukan rotan di setiap pintu dorm. Terjengul wajah seorang lelaki kurus berkulit agak gelap, mungkin sama dengan mamak di dorm B25 ini. Tetapi mungkin dia dari kalangan senior form-five ataupun warden?
“Semua dah bangun?” sapanya.
“Kejutkan yang lain yang masih lena tu…”
Azan Subuh dialunkan oleh seseorang. Jumlah jamaah yang hadir tidak seramai waktu maghrib dan Isya semalam. Jauh sekali menurun kuantitinya. Katanya wajib hadir?
Seusai solat yang diimamkan oleh abang Hafiz, kami bergerak menuju ke dewan makan untuk sarapan pagi. Menu ialah roti, dan telur rebus beserta teh O. Selesai menghantar tray kotor, aku bersegera naik ke dorm untuk berpakaian. Oh ya, masih lagi mengenakan pakaian sukan.
“Korang motivasi berapa hari?” sapa Sham, senior form-three, katilnya searas dengan katilku. Dia memakai tuala tanpa baju, memegang baldi berisi gayung, sama seperti dia pertama kali menegurku petang semalam.
“Lebih kurang seminggu kot..” jawapku sambil mengenakan kemeja T berwarna putih.
“Tak pe…nanti kita sembang lagi..aku dah lambat..” katanya sambil berlari anak menuju ke bilik air. Jam di tangan menunjukkan pukul 6.50 pagi. Tanah juga telah terang dek cahaya mentari. Loceng juga kedengaran berdering daripada bawah.
“Tu loceng amaran pertama….Kali terakhir akan berbunyi jam 7.00 pagi. Yang lewat akan didenda oleh cikgu azli (warden)…” kata abang Asna Fizi.
Aku, Saleem dan Adam berjalan seiring ke dewan semalam untuk meneruskan acara-acara minggu orientasi. Aktiviti pada waktu siang tidaklah seperti waktu malam semalam yang lebih berbentuk permainan. Aktiviti siang Jumaat pertama di bumi SBP tahun 1990 adalah lebih berbentuk ceramah dan juga penerangan.
Program kami tamat sekitar jam 12 tengahari. Kami kemudian diarah untuk kembali ke dorm bagi mempersiapkan diri menghadiri solat Jumaat.
Menapak di tengah panas dalam jarak dua km dengan tubuh longlai dek kekurangan tidur dan otak mula menyendat dengan pemikiran sebagai seorang warga SBP yang baru hasil penceritaan sang penceramah sebentar tadi, menyebabkan ketibaan di dorm yang berhawa agak dingin dengan putaran kipas laju seolah melambai diri untuk terjun ke atas kali bagi menyelami mimpi. Cukuplah sekadar lima minit cuma…
“Oii sedara… pukul 12.30 dah kena berkumpul di hard-stand berpakaian baju melayu lengkap bersamping tenun negeri..” Kata Saleem sambil menggoyangkan tubuhku. Wah…dia dah siap mandi rupanya. Bila masa dan masuk bilik air. Tadi macam bersama aku je masuk dalam dorm….
“Ahh…baru pukul 12.15 …” jawabku malas.
“Abis…kau tak reti nak mandi sunat Jumaat?”
Perbualan kami terputus dek bunyi deringan loceng panjang dari arah hard-stand. Ini diikuti oleh suara dari heller bergema seperti subuh tadi dengan alunan berlainan,
“Turun semua berkumpul di hard-stand!!”
“ha…kan dah lambat…” katanya.
Aku bergegas turun dari katil dan terus membuka locker, mencapai baju melayu serba putih. Berkedut seribu. Begitu juga dengan kain tenun yang baharu dibeli semalam. Tergesa-gesa memakai selipar dan menuruni anak-anak tangga.
“Semua turun sekarang…dalam kiraan sepuluh…” Aduhai….harus jatuh tangga ni.
Di hard-stand suasana agak panas. Al maklumlah, dataran bertar. Tentu melantun kepanasannya di bawah terik mentari waktu zawaal.
“Semua beratur ikut dorm…” arahan dikeluarkan oleh lelaki berkulit gelap yang terjengul di pintu dorm B 25 sebelum subuh pagi tadi. Dia berada di aras satu blok A menghadap kearah hard-stand yang semakin panas dan semakin padat dipenuhi warga putera SBP. Disebelahnya ialah abang Hafiz manakala disebelahnya pula ialah KP.
“Ketua dorm sila pastikan anak buah cukup dan lapor…”
Kemudian setiap dorm melaporkan kehadiran ahlinya di dataran tersebut sama ada cukup atau kurang. Laporan yang agak mencurigakan akan menyebabkan lelaki pemegang heller itu mengarahkan agar kiraan semula dibuat.
“Sesiapa yang lewat berdiri di barisan belakang…terpisah daripada yang lain…” arahannya seperti seorang komander perang. Turut berdiri di atas ‘mimbar’ batu itu ialah seorang lelaki berwajah seperti seorang tioghua dengan wajah bengis. Ni siapa pula?
“Yang pegang heller tu din, ketua blok B.” Sham yang berkebetulan duduk disebelahku mengenalkan para khatib di terik zawaal itu.
“Yang muka cam apek tu orang panggil chin peng. Dia ketua biro disiplin..” Chin Peng? Agak ganas gelaran nama itu.
“Ok hari ni ada berita baik…kita akan ke masjid dengan menaiki bas..” disambut oleh suara sorakan nakal beberapa orang senior. Junior form-four hanya menikus. Masa mereka belum tiba untuk itu.
“Dan sebagai menghormati kehadiran rakan-rakan baharu, kita akan memberikan peluang adik-adik form-four menaiki bas terlebih dahulu”
Ini mengundang gelombang sorakan lebih besar dan riuh beserta rungutan.
“Pukul berapa nak sampai masjid kalau macam ni…”
“Jalan kaki je lah…”
Tatkala bas berwarna putih tiba di hujung jalan, kami pelajar junior form-four diminta memanjat tangga bas terlebih dahulu. Penuh bas dengan golongan kami.
“Jalan kaki lagi baik…” kata beberapa senior sambil mula melangkah.
“Yang lain jangan bergerak dahulu…tunggu bas…”
Kemudian, bas berwarna putih itu meninggalkan hostel dan menuju ke pintu masuk sekolah. Kemudian, ianya membawa kami ke sebuah masjid yang terletak kira-kira lima minit perjalanan.
“Jauh juga…” getusku
“eh…dah ada senior yang sampai..” terdengar satu suara tatkala kami tiba di perkarangan masjid.
“Maknanya tak lah jauh sangat…”
Seusai solat Jumaat, bas berwarna putih setia menanti pelajar untuk mengisi kekosongan perutnya. Namun, kebanyakan junior terikut ‘hasutan’ senior dengan teori bahawa berjalan kaki balik ke hostel lebih cepat.
“Naik bas lambat. Silap-silap kau kena tinggal. Abis kalau semua dah balik, macamana kau nak cari jalan pulang,” kata seorang senior yang tidak dikenali tatkala kami berjalan bersama menuju ke hostel. Walau bagaimanapun, kami berjalan berdua-dua dalam barisan yang panjang. Kadangkala ketinggalan, namun ketika hampir tiba di pintu masuk, kami menunggu yang agak lewat manakala yang lewat mempercepatkan langkah agar dapat bersama masuk ke dalam kawasan sekolah.
Tiba di kawasan sekolah, langkah kaki dipercepatkan untuk menuju ke dewan makan.
“Kebiasannya makan tengahari sebelum solat Jumaat. Tak tahulah kenapa hari ni berubah…” rungut seorang senior yang berjalan di sebelahku.
Dewan makan sesak dengan pelajar yang beratur panjang. Hanya ada satu kaunter sahaja. PREP dikatakan akan bermula jam 3.00 petang. Sekarang jam sudah menunjukkan pukul 2.30 petang. Program orientasi juga bermula jam 3.00 petang. Sempat ke ni?
“Patutlah hari ni ada bas. Sebab makan lambat…” kata seorang senior lain ketika kami duduk menikmati makanan tengahari. Menu pada hari ini adalah yang terbaik. Nasi ayam. Namun kami makan agak kelam kabut kerana mengejar masa. Kemudian berlarian balik ke hostel untuk menukar pakaian dan kemudian kembali berlari menuju ke dewan dan juga bangunan akademik bagi senior lain.
Aktiviti ceramah dan LDK masih menghiasi petang Jumaat pertama di SBP. Sekitar jam 4.30 petang, kami dilepaskan keluar dewan. Berbondong-bondong kembali ke hostel. Kami masih belum dipecahkan mengikut kelas. Kebanyakan kami hanya mengenali nama masing-masing sahaja. Sudah ada bibit kemesraan antara kami meski hanya baharu sekitar 24 jam berkenalan.
Seusai solat Asar di surau, kami bergerak ke dewan makan untuk menikmati minum petang. Kemudian kami berlari-lari pula pulang ke dorm untuk menyertai acara sukan petang. Sebenarnya bukanlah acara sukan. Tetapi telah menjadi peraturan untuk warga SBP mengosongkan hostel antara jam 5.00 hingga jam 6.30 petang.
“Pelajar form-four sila beratur di hard-stand tepat jam 5.05 petang. Diulangi 5.05 petang. Pelajar lain diminta terus bergerak ke padang!!” Satu arahan dikeluarkan daripada hard-stand melalui heller.
“Ha ha...habislah korang...aku nampak kereta Nasir tadi kat hard-stand”
“Nasir?” tanya ku dalam hati.
“Nasir...cikgu disiplin lah..” kata Syam memecah kebuntuanku.
“Dia belum kenal lagi penangan Nasir. Nanti korang kenallah. Kejap lagi tu…” tambah mamak.
“Woii...korang tak siap lagi? Nasir dah ada kat hard-stand tu..” kata Jin terkocoh-kocoh masuk ke dalam dorm. Dia masih berpakaian seragam sekolah. Mungkin baru tersedar akan kewujudan makhluk bernama Nasir di hard-stand menyebabkan dia agak kelam kabut kerana lewat.
“Rilekslah...tadi Din baru umumkan budak form-four kena turun hard-stand. Yang lain terus pergi padang..”
“Abis ko ingat dia tak round ke atas cari kita yang lambat?”
Mendengarkan itu, masing-masing mula kelam kabut mencapai pakaian sukan.
“Baik cabut cepat..”
“Pelajar form-four...dalam kiraan 10 sila berada di hard-stand”
“Pandai-pandailah ye..” Syam berpesan sambil berlari menuju ke tangga.
Aku dan Saleem terkocoh-kocoh untuk memakai kasut dan menuruni anak-anak tangga menuju ke hard-stand. Mujurlah, pada kiraan ke sepuluh, kami telahpun berada di atas hard-stand. Mentari petang agak terik tanpa lindungan awam.
“Ok..buat empat barisan bertiga-tiga cepat!!” Chin Peng kelihatan memberikan arahan. Berdiri susuk tubuh seseorang disebelahnya yang berwajah tidaklah teralu garang. Hanya memakai selipar. Sebuah van berwarna biru diparkir jauh di penghujung hard-stand. Adakah itu Nasir?
“Empat barisan bertiga-tiga..” suaranya masih meninggi apabila melihatkan kami seperti kebingunan untuk menyusun barisan. Lelaki yang kusyaki sebagai cikgu Nasir itu hanya tersenyum sumbing melihat telatah kami.
Setelah keadaan agak reda,
“Baris!! Baris sedia!!”
“Lembab!!...Tidur ke apa??”
“Semula…”
“Baris!! Baris sedia..!!”
Dan perkataan arahan itu berulang-ulang pada petang tersebut sehinggalah kami semua dapat mematuhi arahan tersebut dengan baik.
“Baik ...siapa yang tidak bawa telur..sila mengaku..” kata Chin Peng selepas lelaki yang berdiri disebelahnya membisikkan sesuatu ke telinganya. Maka beberapa orang daripada kami mengangkat tangan.
“Mengaku sebelum saya buat pemeriksaan..!!” tegas suara Chin Peng. Keadaan sunyi sepi. Terik mentari petang terasa semakin membahang. Peluh jantan tersirna di wajah masing-masing. Tiada pengakuan baharu yang ditemui.
“Baik...yang tertinggal telur sila ambil sekarang dalam kiraan 10...satu…” maka berlari beberapa orang daripada kami sepantas boleh untuk mengambil telur yang ditinggalkan. Sebaik kiraan berakhir, kesemua yang tertinggal telah muncul kembali bersama sebutir telur di tangan.
“Baik masuk baris semua..”
“Baris..!!”
“Haa...tidur lagi..” pekiknya apabila ada dikalangan kami yang masih terleka.
“Cuba respon arahan dengan pantas. Kamu pelajar SBP. Bukan pelajar sekolah biasa..faham tak?!!”
“Faham…”
“Tak dengar...faham tak?” suara Chin Peng semakin meninggi.
“Faham!!”
“Tak dengar...tak makan ke apa?”
“Faham!!” bergemuruh dan bersemangat.
“Baik...senang diri..”
“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh”
Lelaki yang berdiri di sebelah Chin Peng memulakan ucapan. Salam beliau disambut dengan agak bergemuruh dan bersemangat.
“Kamu semua adalah semut-semut di sini. Di sini kamu semua yang paling kecil dan lemah. Oleh itu, sila patuhi peraturan asrama dan sekolah” itu antara intipati ucapan beliau yang awal.
“kamu semua kena panggil saya tuan apabila menjawab soalan ataupun apabila mendapat arahan, faham?”
“Faham…”
“Mana tuannya….kamu semua tidur? Turun 20 kali” Pergh…
“Turun cepat pumping….cepat…” gesa Chin Peng dengan nada serius. Maka kami pun bersama pumping.
“Dengan kiraan...bersama-sama”
“Satu..” kami turun
“Dua” kami naik...dan begitulah seterusnya hingga cukup 20 kali
“Baris…..Baris sedia…”
“Faham tak arahan saya?” Cikgu Nasir cuba mengujilari kefahaman kami.
“Faham tuan!!” begitu kuat dan bersemangat. Mungkin bercampur marah.
“Kamu apa sebab tersenyum?” dia meninggikan suara sambil menunjuk kepada seseorang di kalangan kami.
“Kamu fikir saya pelawak?”
“Keluar ke hadapan…” tegas sekali suaranya. Orang yang ditangkap tersenyum keluar ke hadapan.
“Baik..kamu buat macam pegang senapang…” katanya sambil membuat aksi sedang memegang senapang. Rakan tersebut mengikut apa yang di arah.
“Ambil senyum daripada mulut kamu, letak di senapang. Bidikan dan tempak POOM!!” katanya sambil mengayakan aksi. Beberapa orang daripada kami cuba menahan ketawa dengan sabaiknya.
“Yang lain jangan senyum atau ketawa” jerkah Chin Peng. Sebenarnya kami lihat dia juga sedang menahan ketawa.
“Ok buat apa yang saya suruh..” kata cikgu Nasir kepada rakan kami tadi. Maka beliau mematuhinya.
“Macam senapang pondan… kuat lagi!!” arahnya.
“POOM!!” Dan kami semakin sakit perut menahan ketawa. Petang itu kami hanya berada di hard-stand melayankan karenah cikgu Nasir. Mungkin itu sebagai salam perkenalan daripada beliau. Sebelum ini tidak kelihatan beliau bersama guru-guru lain di dewan semasa acar orientasi.
“Cikgu Nasir ni guru disiplin sekolah dan juga ahli majlis warden. Boleh tahan berantai juga tu..” kata Asna Fizi ketika kami duduk menanti masuk waktu Maghrib. Alunan selawat anwar bergema mengisi kekosongan sebelum waktu Maghrib. Ianya menjadi amalan warga SBP sejak mula ditubuhkan.
Hari Sabtu pertama di SBP. Keadaan agak tenang kerana tiada aktiviti yang dijadualkan dalam tenattif minggu orientasi. Pelajar senior ramai juga yang outing. Pelajar form-four masih belum mendapat sebarang kebenaran untuk outing. Masing-masing sibuk mempersiapkan diri sama ada membasuh baju, berehat di atas katil ataupun bertemu rakan. Sekitar jam 11.30 pagi…
“Pelajar form-four sila turun ke hard stand sekarang!!” terdengar suatu arahan daripada bawah.
“Fuh...mujur. Baru aku nak rehat” kata senior form-three yang duduk di bawah katil Adam. Ahli dorm memanggilnya kuda.
Aku, Adam dan Saleem segera bangkit.
“Pakai baju apa weh?”
“Pakai baju sukan la kot…” maka kami sepakat mengenakan pakaian sukan dan bergegas turun. Di hard-stand sudah ramai yang menunggu.
“Turun segera...turun segera..” Cikgu Nasir sudah sedia menunggu. Setelah kesemua turun dan dalam barisan.
“Kenapa pakai pakaian sukan?” soalan maut daripada cikgu Nasir agak mencemaskan.
“Ada arahan ke pakai pakaian sukan?” tanya beliau kembali, namun tiada jawapan yang diberikan. Masing-masing menikus. Wajah cikgu Nasir yang kelihatan lebih ganas daripada petang semalam mematikan kami untuk berbisik-bisik. Apalagi untuk menatapinya secara terus.
“Naik semula ke atas...dalam kiraan 20, turun balik dengan berpakaian sekolah lengkap, bertali leher…” Berterabur masing-masing berlari menaiki tangga menuju ke dorm.
“Nasir datang?” tanya Sham. Aku hanya menggangguk mengiyakan kata-katanya.
“Aihh..hari Sabtu kenapakai pakai baju sekolah lengkap? Korang kena pergi outing ke?” Mamak bersuara dengan wajah pelik.
Sebaik kiraan 20 berakhir, hampir kesemua sudah bersedia berada di hard-stand.
“Yang lewat, turun 10!!” tegas arahan daripada Chin Peng. Tanpa banyak bicara beberapa orang yang terlewat tiba menunaikan perintah pumping tersebut. Berpakaian uniform sekolah, siap tali leher, kena turun pumping di hard-stand yang berturap tar diterik mentari zawaal itu?
“Semut-semut yang tertinggal telur sila naik ambil telur…” Bercempera lagi beberapa orang naik ke dorm, tapi bilangannya tidak habis dibilang dengan jari di kedua-dua tangan.
Setelah acara siksaan kecil berakhir, kami digiring menuju ke kawasan lapang di hujung hostel blok B yang kami kira tidak pernah dijejaki oleh sesiapapun sebelum kami. Jauh dihujung tanah hostel. Lapang tanpa pokok. Jam di tangan menunjukkan pukul 12.30 tengahari. Kami disuruh membawa beberapa anak pokok, kukira pokok kelapa bersama cangkul.
“Ok...tugas kamu tanam pokok ni” arahan ringkas diberi oleh Chin Peng. Cikgu Nasir hanya memerhati dari kejauhan. Mungkin dia tidak larat berjalan. Daripada postur gerak tubuhnya di hard-stand sejak semalam, dia kelihatan sedikit tempang. Mungkin cagu atau gout.
Kami melaksanakan ‘tugasan’ tersebut tanpa banyak soal. Kira-kira dua puluh batang anak pokok kelapa berjaya di tanam. Kira-kira jam 2 petang, acara penanaman tamat.
“Fuuh ..dahsyat Nasir kenakan korang..” komentar pertama menusuk telinga sebaik aku masuk ke dalam dorm. Pakaian sekolah lencun dek peluh. Saleem lagilah kebasahan. Adam kelihatan masih steady. Dimulutnya masih kelihatan kunyahan gula-gula getah. Itu mungkin trade-mark untuk pengenalan dirinya.
“Tempat tu tak pernah dijejaki oleh sesiapapun sebelum ni. Kawasan larangan katanya..”
“Tak pa lah….sebagai kenangan bahawa batch kamu pernah menanam pokok.” ringkas sekali kesimpulan abang Asna Fizi.
Minggu orientasi terus berlangsung sepanjang minggu. Bilangan tandatangan di atas kulit telur mentah kelihatan mula bertambah. Mungkin telur milikku yang kurang diminati. Jadi bilangan yang menandatangan agak sangat kurang kelihatannya. Masa juga semakin suntuk. Para pengawas yang menguasai malam-malam minggu orientasi senantiasa memberikan peringatan agar telur tersebut ditadatangani oleh kesemua pengawas dan guru yang terlibat. Fuuh..
Tekanan yang diberikan oleh cikgu Nasir juga semakin galak. Isnin petang sebagaimana biasa, kami dihimpun bersama senior lain di hard-stand dan kemudiannya digiring bersama menuju ke astaka.
“Hari ni ada senam robik. Semua sekali kena join” kata senior.
Astaka hoki SBP adalah antara yang terbaik yang wujud di daerah tersebut. Besar dan cukup luas. Setelah semua pelajar berkumpul, tiba-tiba cikgu Nasir naik ke pentas.
“Semut-semut sekelian...sesiapa ada tertinggal telur angkat tangan..” Ahhh sudah...dia buat hal. Beberapa orang di antara kami angkat tangan termasuk aku. Macamana boleh tertinggal ni...haish….selalu tak pernah tertinggal. Sepatutnya aku buat-buat tak tahu sahaja. Tapi entahlah, kejujuran berlaku pula pada petang yang agak hening itu.
“Semut-semut yang tertinggal telur...jerit kuat-kuat kemana telur kamu”
“Telur saya tertinggal tuan…” kedengaran dekah ketawa senior lain, termasuk rakan-rakan form-four sendiri. Ketawa yang tertahan-tahan.
“Kemana telur kamu….tak dengar?”
“Telur saya tertinggal tuan..” derai ketawa semakin menggema.
“Kuat lagi..”
“Telur saya tertinggal tuan….” padu dan bersemangat.
“Baik...semut-semut yang tertinggal telur...berlari keliling padang tiga kali” Pergh boleh tahan juga. Padang seluas itu seolah berlari 500m x 3 tu….Dengan menanggung malu lagi...
“Ha...ha..ha.. macammana telur kau boleh tertinggal?” Kuda ketawa berdekah apabila aku muncul di muka pintu petang itu. Yang lain turut ketawa meraikan tawanya senior mereka mungkin. Aku hanya diam dan masuk ke dalam dorm.
“Lain kali jaga telur baik-baik. Patutnya kau tak payah mengaku pun tak pe. Si Nasir tu tak de nak check pun. Tak sempatnya…” kata Jin sambil membuka pakaiannya.
“Takut Chin Peng pula tolong check, ye tak?” Mamak membantu memberikan idea kepadaku untuk menjawab.
“Yang penting jaga telur...kau akan selamat…”
“Jangan tertinggal….” sambil disambut gelak tawa senior, termasuk senior form-two?. Aku bergerak ke bilik air untuk membersihkan badan bagi menghadiri acara Maghrib di surau.
Ulasan