JURNAL III : KEHIDUPAN SHAH PEKAN 1992

Minggu orientasi sudah beberapa hari berlalu. Telur yang digenggam di tangan mungkin dah masak agaknya, ataupun mungin akan menetas dalam beberapa hari lagi. Maklumlah, asyik dikelek ke hulu ke hilir tanpa berenggang. Untuk mencukupkan syarat mendapatkan tandatangan kesemua guru dan pengawas agak sukar kerana ketidak cukupan masa dan juga kalau dapat bertemu pengawas sekalipun, terlalu banyak syarat yang diberikan hingga akhirnya terlepas begitu sahaja. 

“telur kau dah cukup ke dapat sign?”

“Mana nak cukup….susah la nak dapat…”

“aku dengar ada yang dapat hampir penuh…”

“Siapa?”

“Adik angkat KP lah…”

Perbualan yang dapat kutangkap tatkala menghadap makanan tengahari di dewan makan. Siapa pula adik angkat KP nih?

“entah...katanya si Aren…”

“oh…” aku dapat terbayang wajah lelaki tersebut yang agak pemurah dengan senyuman.

Petang tersebut, sebelum berakhir waktu prep, kami telah menerima arahan untuk turun semula ke dewan besar dengan berpakaian riadah lengkap.

“Hari ini kamu semua akan ke sekolah sebelah untuk memberi sokongan kepada pasukan sekolah kita. Pasukan bolasepak…” demikian dinyatakan oleh salah seorang pengawas perempuan.

Dan disepanjang waktu prep dari jam 2 petang hingga jam 4.30 petang, masa kami dipenuhi dengan mempelajari dan menyanyikan lagu-lagu semangat untuk memberikan sokongan kepada pasukan sekolah. Lagu diulang berkali-kali.

“we are dynamite

Dont play with dynamite….

Sekitar jam 5.30 petang, kami dibawa menaiki bas berwarna putih hitam menuju ke sekolah menengah berhampiran. Sekolah tersebut bukanlah sebuah sekolah SBP. Sekolah harian. Dan ditepian padang, kami hanya menjadi tukang sorak mengiringi kumpulan utama yang sememangnya sudah wujud. Pump-pump girl sekolah memang telah ada. Kami mungkin hanya menjadi back-up singer sahaja.

Perlawanan bolasepak berlangsung di sepanjang petang dan agak hangat. Perlawanan berakhir dengan kekalahan sekolah kami disertai sedikit adegan pergaduhan yang turut melibatkan pasukan sorak.

“Aku dengar ada pergaduhan kat sekolah tu…” Soalan mendatang sebaik sahaja wajahku tersembul dimuka pintu dorm B25.

Aku hanya mengganggukkan kepala sambil berjalan menuju ke locker.

“Apa yang berlaku?” Sham begitu bersemangat untuk mendapatkan maklumat berkaitan.

“Aku tak ambil portlah..cuba tanya Saleem…” kataku sambil memandang kepada Saleem yang baharu tiba di muka pintu.

“Tanya apa?” katanya dengan wajah kebingungan.

“Korang pergi pun tak tahu?”

“Oh...tu biasa la...dia orang tak puas hati…” Suara Jin menyelamatkan keadaan. Nasib baik dia ada info yang boleh membantu menyelesaikan permasalahan rakan dorm lain.

Dan kisah berkaitan pergaduhan di sekolah bersebelahan menjadi isu viral sepanjang minggu. Pelbagai versi yang timbul hingga ada yang mengaitkannya dengan kehadiran pelajar form-four yang dikatakan terlibat sama dalam pergaduhan tersebut.



Malam akhir orientasi….

Kesemua pelajar junior form-four diperingatkan untuk membawa tali leher pada malam ini. Peringatan itu dikeluarkan sejak awal pagi lagi. 

Sebaik tiba di dewan utama, kami diminta berada dalam kumpulan yang telah diasaskan sejak hari pertama lagi. Kami kemudiannya diminta menutup mata dengan menggunakan tali leher yang dibawa. Masing-masing membantu rakan yang lain untuk menutup mata.

“Ok...semua diminta berbaris panjang di tepi dewan. Sila pegang bahu rakan masing-masing. Jika rakan perempuan, akan memegang tali yang dibekalkan khusus”

Maka kami mengikut arahan yang diberikan. Beratur panjang di tepi laluan dewan utama dalam keadaan mata yang tertutup. 

“Lampu padamkan lampu…” terdengar suara-suara sang pengawas antara mereka, diselang seli dengan deraian ketawa dan juga suara mereka bersembang. Namun, ianya hanya kedengaran sayup sahaja.

“Kemana nak dibawa kita ni?” tanya seseorang dibelakangku. Dari nada suaranya seperti Fareez.

“tak tahulah…”

Kedengaran bunyi bas melalui jalan berhampiran dewan menuju ke hard-stand sekolah, lokasi utama perhimpunan pagi selain hari isnin untuk warga SBP.

“Ok semua bergerak ikut rakan dihadapan. Jangan sekali-kali melepaskan pegangan bahu atau tali rakan hadapan kamu. Jika gagal, kamu akan ditinggalkan…”

Maka kami berjalan perlahan-lahan dengan mengharapkan rakan di hadapan sebagai pemandu kami. Sebenarnya kami bukanlah sempat nak explore kesemua ceruk bahagian sekolah. Mana nak sempat. Asyik sibuk dengan program. Jadi dek kerana mata tertutup dan keadaan jalan yang belum dihafal dengan baik, pergerakan menjadi terlalu lambat.

“Jangan cuba-cuba nak menipu. Kami tahu siapa yang cuba menipu, kami tahu siapa yang nampak..” suara pengawas seolah memberikan ugutan awal. Yelah..kalau dah nampak di sebalik intaian penutup mata, dah tak thrill lah kisah berjalan malam yang mengada-ada ini.

Berjalan dengan sangat berhati-hati dan lambat. Tanpa suara meninggi. Hanya bisikan sesama sendiri.

“Kemana kita nak di bawa ni?”

“tanah perkuburan..” agak kuat suara itu. Yang pasti, ianya suara salah seorang guru.

Sebaik tiba di dataran, atau hard-stand, suara deruman bas semakin kuat menelan suasana sunyi malam. Kufikir ada lebih kurang dua buah bas yang sedang menunggu kami. Tanpa banyak bicara, kami terus digiring hingga ke tangga masuk ke perut bas. 

“Masuk dan duduk dalam bas. Duduk ikut kumpulan…” kedengaran suara dari heller di hard-stand. Aku dan kumpulan sudah duduk di dalam bas. Bas tanpa penghawa dingin di awal era 90an. Malam itu tidaklah sedingin malam-malam biasa. Peluh sudah mencucur di dahi. 

“kemana kita nak dibawa…?” bisik satu suara yang kedengaran sedikit cemas. Mungkin tidak pernah keluar malam dengan mata tertutup seperti juga diriku. 

“Dah katanya kubur..” sambil ketawa ditahan-tahan.

Setelah semua dipastikan lengkap berada dalam bas, bas memulakan perjalanan. Perlahan-lahan dan begitu tertib. Angin malam menyapu wajah yang terjengul di tepi tingkap. Bagi kebanyakan dari kami, suasana begitu gelap. Kami ingin menikmati keseronokan permainan ini. Tapi aku yakin, ada juga diantara kami yang nakal atau buat-buat nakal, sudah mula mendapat cahaya dibawah penutup mata yang senghaja dilonggarkan.

“kita pusing dalam sekolah je ni…” bisik satu suara. Adakah untuk menyedapkan hati yang sedikit cemas atau memang dia tahu, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Selepas lebih kurang sekitar 30 minit berlalu, bas masih berjalan dengan enjin menderum-derum. Tiba-tiba roda bas terhenti…

“Ok semua...bangun dan pastikan selepas itu turun perlahan-lahan dari bas. Tunggu di bawah dan jangan berpecah dari kumpulan.”

Kami segera bangun dan ada yang agak tergesa-gesa untuk menghabiskan keseronokan ini dan akhirnya terlanggar bangku bas.

“Ilek la….belum turun lagi ni…”

Setelah semua tapak kami memijak semula bumi yang terasa berumput dan dibasahi embun, dah ada embun? Pukul berapa ni?

“ok semua akan dibawa ke satu kawasan. Kamu perlu duduk di satu tempat dan tolong pastikan jangan berpecah…”

Maka kami ditarik untuk berjalan seperti tadi. Bahu dipegang oleh rakan dibelakang. Bagi puteri, ada tali yang menyambung dengan rakan putera dihadapan. Mata tertutup. Hanya berpandukan ketua yang ditarik oleh pengawas atau guru.

Selepas kira-kira lima minit berjalan…

“Eh...jangan tarik aku...jangan…” satu suara dari arah hadapan. Keadaan cemas dan panik seketika. Apalagi bila rakan dihadapan tiba-tiba hilang seolah ditarik oleh seseorang. 

“tolong jangan…” terdengar suara sang puteri yang seolah merayu kerana rakan dihadapan dan dibelakangnya dilarikan oleh sesuatu.

Ya..akhirnya selepas 30 minit kami terpisah antara satu sama lain. Hanya terdengar sesekali suara sayup memanggil antara satu sama lain. Langkah paling selamat ialah duduk sahaja di tempat yang ditinggalkan keseorangan.

Tatkala tangan meraba-raba...aku tercapai sesuatu yang keras dan memanjang ke atas..

“Batu nisan…” getus hatiku

“uitss….ni aku Sabri kat sini” satu suara berbisik kedengaran disebelah tiang yang memanjang kelangit itu.

“Kita kat mana sebenarnya…” kataku agak cemas. Maklumlah, banyak terpengaruh dengan drama dan cerita hantu.

“kat kubur la…”katanya sambil ketawa tertahan-tahan.

Selepas puas menikmati ketawa yang bagiku tidak lah lucu sangat itu, 

“kita kat padang sekolah lah…”

“Mana ko tahu?” kataku. Masih terperangkap dengan ketakutan kubur.

“Aku tengok la..”

“Dah...duk diam-diam je kat sini…”

Sementara menunggu masa acara ditamatkan, kami berbual dalam keadaan separuh berbisik. Suara salakan anjing sayup-sayup menyapa kegelapan malam, seolah menemani kami. Angin sepoi menambah sedikit kengerian berjaga di tengah malam di tengah hutan?

“Kita kat padang sekolah lah. Bukan kat tengah hutan…”

“Abih ada bunyi anjing...dan juga bunyi burung hantu…” apabila kedengaran suara burung hantu sesekali berbunyi mungkin terperanjat melihat kelibat jumlah manusia yang agak besar di tengah malam.

“Ko ni duduk kat bandar eh? Kat kampung memanglah ada bunyi-bunyi cam ni…” getus Sabri. Suaranya kelihatan tenang dan relaks. Lagipun dia berjaya mencuri-curi lihat keadaan sekeliling. Aku masih taat dengan arahan asal. Tak boleh melihat keluar daripada kegelapan penutup kedua mata. Ini menjadikan hanya deria dengar dan sentuhan sahaja yang mungkin berfungsi. Dengan keadaan gelap, perasaan menjadi sesekali, takut, sesekali cemas dan kadangkala sayu….

Dan selepas kira-kira dua jam dibiarkan menikmati keasyikan malam, kami akhirnya dipimpin kembali dan dibawa masuk ke dalam dewan dimana kami bermula. Jam ditangan menunjukkan ke angka 12.30 tengah malam.

Selepas semua peserta berjaya dikumpulkan semula dan bilangan telah mencukupi, kami dibenarkan pulang ke penginapan kami semula. Walau bagaimanapun, pada malam esoknya, yang merupakan acara penutup program orientasi pelajar tingkatan empat tahun 1991/1992, setiap kumpulan perlu mempersembahkan persembahan di atas pentas. 


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol