Bermuqeem di New York
9-11 Rabiul Awwal 1444
Penulis berada di bangunan hotel dengan nama di barat ini pada sekitar menjelang masuk sang mentari. Hotel agak besar dan luas. Masuk ke lapangan parkir dengan jalan yang kelihatan zahirnya agak sempit untuk dilalui oleh sebuah kenderaan SUV. Di kiri kanan kelihatan parkir yang sudah dipenuhi kenderaan pelbagai jenis dan jenama.
"Ramai juga pengunjung hotel ni," getus hati penulis. Meski keadaan agak samar dek senja yang mendung, keadaan boleh dikategorikan sebagai 'menyeramkan' apatah lagi sudah terdengar khabar akan misteri yang ada di sini.
"Kat situ ada kosong..." humm akhirnya, ditemui juga ruang kosong dimana di sebelahnya ada kenderaan yang sedang memunggah khazanah untuk dimuatkan dalam perut bilik hotel kelak.
Selepas selesai memarkir (betul ke?) penulis dan keluarga berjalan menuju ke lif untuk ke lobby dengan tujuan dan nawaitu 'check-in'. Penantian di hadapan pintu lif agak meresahkan. Pertama, kerana lif yang ada hanya satu sahaja berfungsi walaupun hakikatnya ada tiga pintu lif. Keduanya, semakin ramai pelanggan yang muncul untuk check in. Maka ini akan menghasilkan persaingan untuk masuk ke dalam perut lif.
Selepas beberapa minit, pintu lif pun terbuka, sudah ada segerombolan manusia di dalamnya. Ini bermakna, terpaksa melepaskan lif pergi walau tanpa kerelaan...Hanya selepas pintu terbuka buat kali kedua, baharulah penulis dan keluarga melangkah masuk. Itupun ianya sudah berpenghuni dan terpaksa meninggalkan pelanggan lain yang masih menanti di muka lif.
Setibanya di aras yang menempatkan lobi hotel, sebaik pintu lif terkuak lemah, maka terbentang dewan makan. Kami berjalan mengarah ke sebelah kanan menuju ke lobi. Di lobi, oleh kerana membawa keluarga bersama, bilik perlu dinaik taraf daripada twin sharing kepada single. Maka bayaran sebanyak RM80 dikenakan.
Seusai urusan check-in, maka misi masuk ke bilik diteruskan. Perjalanan ke bilik penginapan kelihatan lebih mencabar di tingkat 14 dengan terpaksa menaiki lif lain yang juga hanya satu sahaja yang beroperasi. Waduh...kelihatan di papan iklan terpapar terdapat dua program yang dijalankan disepanjang tiga hari. Sesak teruks ni..
Selepas hampir lima minit berdiri menantikan masa terbukanya pintu lif, akhirnya yang dinantikan tiba jua. Dan menjelang jam 7.50, kami telahpun berada di dalam bilik penginapan untuk dua malam ini.
Seusai jama dan qasr, penulis bergerak menuju ke aras 25 yang menempatkan ruang program. Seperti yang dibicarakan tadi,lif akan menjadi isu terbesar bahkan alasan untuk peserta lewat menghadiri program. Acara malam ini adalah taklimat ...Ianya berakhir sekitar jam 10.30 malam
Seusai majlis, penulis bergegas mengejar lif untuk kembali ke penginapan. Al maklumlah, semua belum makan malam lagi. Sekitar jam 10.50, kami keluar berjalan kaki menuju ke lokasi akan yang terbentang di hadapan bangunan hotel.
Menu yang ditawarkan agak biasa sahaja cuma harganya yang luar biasa. Sesuatu yang paling menyedihkan, kedai tersebut hanya menerima transaksi tunai. Tidak mengenal debit, pindahan bank apa lagi kredit...Mengalahkan kedai runcit di pekan tempat tinggal penulis lagaknya. Pada kebiasannya, kedai makan boleh menerima transaksi tanpa tunai meskipun dengan melalui kaedah pindahan wang ke dalam akaun.
Maka penulis 'terpaksa' menapak mencari mesin atm. Tergesa² ke lobi hotel dan bertanyakan. Syukurlah lokasi mesin terletak agak berhampiran dan boleh dijangkau dengan berjalan kaki, walau terpaksa memberikan sedekah tanparela sebanyak RM1 kepada bank yang berkenaan, namun ianya mungkin lebih baik daripada terpaksa meronda dengan kenderaan ditengah kota metropilitan itu hanya untuk memburu mesin atm.
Seusai membuat bayaran di kaunter yang mana harganya agak memeranjatkan berbanding kualiti makanan yang dihidangkan. Bayangkan mee hoon goreng kosong yang sama piawai dengan mee hoon goreng kosong di kantin stesen keretapi terkenal di daerah tengah negara hujung negeri berharga RM7? Sungguh tidak dapat diterima dek akal. Harga seperti hotel tetapi buat transaksi hanya dengan tunai?
Penulis bergerak naik semula ke hotel bersama keluarga untuk meneruskan kehidupan bagi menghadapi keesokan hari yang lebih mencabar.
Azan subuh dari telefon bimbit mengejut penulis pada pagi Jumaat sehari sebelum maulid ar rasul yang disambut secara rasmi di muka bumi tanah melayu berdaulat yang memegang erat mazhab tauhid aliran asyairah dan maturidiah yang didakwa sebagai sebahagian dari sunni.Penulis masih berkira² untuk mencari masjid / surau terdekat atau hanya solat dibilik sejuk nyaman. Dengan hidayahNya jua, akhirnya penulis memutuskan untuk ke masjid terdekat, masjid wadi hana yang biasa penulis dengar di kalangan rakan² tetapi tidak pernah penulis jejak ke situ. Jika mengikut petunjuk guru google maps, ianya terletak paling hampir. Namun untuk mengelakkan sesat, penulis tetap mengambil kunci kereta dan juga tiket parkir untuk dicop di lobi hotel bagi mengelakkan bayaran.
Urusan lif di pagi hari tidak sesak seperti urusan lif untuk hadir solat jemaah tatkala di tanah suci. Sebaik masuk ke perut kereta dan melalui palang yang menjadi pemisah parkir, memandang kepada google maps pagi itu agak mengelirukan
"Ni kerja syaitan..." kata penulis di dalam hati pabila google maps seperti tersekat dan kemudiannya menunjukkan jalan yang tidak dapat dilalui? Akhirnya, penulis bertemu juga dengan masjid melalui panduan suara imam pada pembesar suara. Allah hendak mengajar penulis, jangan terlalu bergantung kepada makhluk. Bergantung dan berserah sepenuhnya hanya kepadaNya..
Tatkala masuk ke perut masjid, saf hanya diisi hampir penuh pada yang pertama sahaja dan imam telahpun selesai membaca ayat sajadah. Hanya tinggal beberapa potong ayat penghabisan dalam surah tersebut. Maka ini bermakna pada rakaat kedua, imam akan membaca surah al insaan?
Seusai bacaan al fatihah rakaat kedua, imam membaca surah lazim yang pendek sahaja. Begitulah dikebanyakan masjid dan surau mutakhir ini. Jika kita berjamaah di masjid daerah contohnya, imam akan membahagi dua surah as sajadah pada pagi Jumaat. Sebahagian besar akan dibaca pada rakaat pertama dan mengandungi sujud tilawah (yang amat dikejar) dan pada rakaat kedua akan dihabiskan baki bacaan. Ada juga sebahagian imam yang menghabiskan kesemua bacaan surah as sajadah pada rakaat pertama, dan membaca surah lain tidak seperti hadith abu hurairah yang diimani pada rakaat yang kedua. Ada juga situasi atau masjid dan surau yang betul² mengikut saranan pada hadith tersebut pada pagi Jumaat, tetapi ada juga celanya dari sisi hafalan imam ataupun tajwid imam...Namun di dua kota suci, bacaan secara tetap setiap subuh Jumaat untuk kedua surah tersebut seperti sudah tidak dilaksanakan lagi...
Sebaik kembali ke penginapan, penulis mengajak isteri untuk mencari sarapan pagi. Tidak mengapa penulis mengorbankan kupon makan pagi ini. Sekitar jam 7.30 am. penulis bergegas keluar bersama isteri dan anak sulung untuk mencari sesuap makanan. Lif sudah mula menunjukkan tanda awal kesesakan trafik.
Apa yang agak merunsingkan, mencari sebuah kedai melayu-islam di sekitar sebelum jam 9.00 pagi adalah agak sukar. Petugas di lobi juga gagal memberikan petunjuk lokasi terhampir yang boleh dicapai dengan berjalan kaki. Selepas beberapa minit berpusing dan membuat tinjauan, maka dengan langkah 'terpaksa' kedai mamak menjadi pilihan. Agak menarik kerana ianya menawarkan harga yang agak murah dan boleh makan pisang secara percuma. Tidak dapat dipastikan apakah kerana hari itu hari Jumaat ataupun memang pisang yang disediakan adalah secara percuma. Tatkala duduk, terpaksa sekumpulan remaja dari negara seberang yang kelihatan seperti serump[un tetapi sukar untuk dikatakan seagama. Rentak gaya, cara hidup dan pergaulan jauh dari syariat. Mungkin orang hakikat-lepat siapa tahu...
Seusai sarapan bergegas pulang kepenginapan bagi mengejar kelas jam 8.30. Ya seawal itu kelas bermula. Kelas pada hari ini adalah agak penuh sehingga jam 12.30 termasuk acara bergambar beramai-ramai. Selepas jam 12.30, bergegas mengejar lif seolah mengejar bas untuk pulang ke rumah. Menanti di pintu lif seolah menanti di pintu bilik temuduga. Selepas 15 minit baharulah pintu terkuak dan boleh dimasuki untuk ditumpang turun ke bilik penginapan.
Niat di hati untuk hadir solat Jumaat dengan berjalan kaki. Dari jendela, kelihatan langit mendung membawa sejumlah air untuyk dicurahkan ke bumi pada bila-bila masa sahaja. Selepas menggesa anak lelaki untuk cepat bersiap, kami sekali lagi mengadap lif yang memang tidak pernah memihak kepada penulis. Sebaik tiba di lobi dan keluar pintu, tidak sampai beberapa langkah, hujan mula turun membasahi bumi...dan juga pakaian kami. Terpaksalah kami masuk semula ke bangunan hotel
"Masjid tu dekat je kan..? Dah hujan ni.." tegur seorang peserta berkaca mata, memakai kopiah hitam bertubuh tinggi lampai berpangkat doktor falsafah.
"Betul dr...Ingat nak jalan je ni...hujan lebat la pulak ni. Nak naik kereta tak berbaloi. Sempit dan sukar untuk parkir.."
"Nampaknya kena jama je la kat bilik..." anjuran tersebut penulis terima dan kami naik semula ke bilik.
Sekitar jam 2 petang, isteri dan anak penulis hendak mencari lokasi pusat membeli belah terhampir bagi menghilang kebosanan terperap di dalam bilik. Penulis menghantar mereka.
"Hari ni habis kalau ikut jadual pukul 5.45 petang," kata penulis sebelum mereka turun keluar untuk masuk ke bangunan. Ini memandangkan telefon isteri telah kehabisan bateri untuk dihubungi.
Kelas petang bermula jam 2.30 pm dan penulis masuk hampir jam 3 kerana kesesakan lif. Rupanya kelas tamat sekitar jam 5 petang. Namun kerna sesak di lif tiba di lokasi dijanjikan untuk ambil semula mereka tadi sekitar jam 5.45 petang.
Hari terakhir, untuk sarapan pagi, penulis cuba ke kedai mamak lain. Nampak seperti berjenama dan terkenal. Harga seperti hotel empat bintang. Perisa makanan tidak seperti gambar yang dipaparkan.
Kami check out sekitar sebelum zuhur. Kemudian menuju ke sogo untuk urusan pembelian barang dan juga ke tebrau.
Hotel di sini agak menarik juga walau ada masalah lif yang hanya satu sahaja yang boleh digunakan. Mungkin menawarkan pakej dengan harga yang agak murah. Peserta ada yang berkata bahawa sebelum ini makanan yang dihidangkan lebih mewah tetapi tidak sekarang. ianya agak berbeza. Tandas di dalam bilik kelihatan agak lama manakala ruang kaki lima luas seperti hostel
Ulasan