Kisah² solat Jumaat

Jumaat 09 Rabiul Thani 1444 

Solat Jumaat hari ni penulis terserempak dengan beberapa gerombolan pelajar sekolah berasrama (SBP) yang lengkap berpakaian melayu satu sut putih dengan samping yang berwarna mengikut tema sekolah. Seusai solat, gerombolan ini bergerak menuju ke lokasi berbumbung di luar pintu pagar masjid menantikan kedatangan bas sekolah untuk memungut mereka kembali ke hostel.



32 tahun lepas, hampir di setiap Jumaat selama dua tahun, penulis akan dikumpulkan bersama rakan-rakan sehostel di dataran asrama yang dikenali sebagai 'hard-stand' dengan memakai baju melayu berwarna putih lengkap bersamping dagang di dalam. Samping berwarna purple yang dikatakan kain tenun rakyat negeri terbesar di semenanjung emas itu segak dipakai khususnya untuk menghadiri solat Jumaat.

Saban minggu, setiap jam 12.30 tengahari, ditengah terik mentari, kami berkumpul di dataran tersebut sambil menunggu jumlah pelajar mencukupi sebelum kami bergerak dalam barisan panjang berjalan kaki ke masjid yang letaknya sekitar 1 km dari dataran. Meskipun pada waktu pagi adalah sekolah seperti biasa dan pulang sekitar jam 12.00 tengahari. Berkejar-kejaran untuk merebut menu makan tengahari di dewan makan (DM), dan kemudian berkejaran naik ke dorm untuk mandi dan bersiap. Tiada keuzuran yang akan diberikan kepada warga lelaki SBP kerana setiap ahli akan diperiksa setiap dorm akan kehadiran di "hard-stand" sebelum kami dibenarkan untuk bergerak. 

Dek kerana suasana masjid adalah tenang dan tenteram, maka sudah barang  pasti ianya menjadi tempat tidur yang paling seronok. Maka kebanyakan dari kami akan mengambil peluang ini untuk melelapkan mata sehingga iqamah dibacakan oleh sang muazzin untuk solat Jumaat.

Seusai solat, kami akan bergerak balik tetapi kali ini peraturan berjalan dalam barisan panjang tidak menjadi keutamaan. Maka begitulah keadaan kami saban minggu. Jarang pula bertemu dengan waktu hujan. Mungkin hujan lebih banyak turun semasa musim cuti sekolah hujung tahun.

Berbeza dengan suasana solat Jumaat pelajar SBP terkini...mereka dijemput dan dihantar pulang dengan kenderaan. Nikmat Tuhanmu yang mana hendak kamu dustakan?



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol