Mendarat di Hydrabad
1 jamadil akhir 1444
Hari terakhir di bumi bakkah. Sejak semalam makin sibuk dengan aktiviti wadak. Shopping wadak. Kedai di bawah jam besar itu menjadi target utama. Entah apa lagi yang hendak dibeli selain pakaian untuk keluarga. Penulis telah cukup dengan dua helai jubah dan beberapa minyak wangi konon tahan lama.
Seawal sebelum subuh lagi sudah ramai jamaah yang telah bergerak untuk melaksanakan tawaf wada yang merupakan aktiviti ibadah terakhir sebelum berpisah dengan baitullah. Bagi penulis, tawaf ini dilaksanakan dengan menggunakan motor. Pertama kali berbuat demikian. Mengapa? Sebab dataran kaabah hanya blh dimasuki oleh mereka yang memakai kain ihram sahaja dan juga kerana dataran kaabah penuh dengan umat manusia.
Tawaf bermotor adalah pengalaman baharu penulis di kaabah. Dalam masa sejam urusan tawaf selesai. Ada juga medan alternatif untuk tawaf di aras dua masjid tetapi jaraknya agak jauh. Satu pusingan lebih kurang 10 minit...
Seusai tawaf, penulis kembali untuk menikmati sarapan di hotel. Salah seorang sahabat sekerja yang juga bertugas berada di bakkah. Kami berjanji untuk sarapan bersama di hotel. Beliau datang dalam pakaian ihram. Hotel beliau 12km dari masjid. Kami sarapan bersama dengan menikmati view masjid di tepi hotel.
Seusai sarapan, penulis kembali ke hotel, membuat persiapan akhir dan meletakkan bagasi di luar pintu untuk dipungut oleh poter.
Penulis naik ke P9 untuk solat Jumaat dengan berimamkan imam masjid al haraam. Ulama yang bersama kami menasihatkan bahawa selepas tawaf wada tidak boleh lagi masuk ke masjid, tetapi boleh solat diluar masjid. Dewan solat di aras P9 begitu luas dan ramai pekerja solat di situ.
Seusai solat, penulis turun untuk makan di P3. Kemudian, jemaah diminta menyerahkan kunci bilik dan berkumpul di aras -2. Bas muncul sekitar jamn2 petang seperti yang dijanjikan. Penulis agak sibuk memerhatikan beg jamaah agar tidak ada yang keciciran.
Bas kemudian bergerak menuju ke al balad. Bangunan beberapa tingkat shopping mall yang kelihatan sendu. Namun penulis terperangkap membeli tiga botol minyak wangi.
Kami di al balad sehingga selesai makan yang disediakan secara bungkus. Kami solat di masjid berhampiran
Kami tiba di lapangan terbang antarabangsa sekitar jam 9 malam. Selepas menurunkan bagasi dan jemaah memulakan check in, penulis dan dua orang jamaah membantu pembelian air zam zam. Di sini bermula ujian pertama. Petugas di situ meminta tips untuk menguruskan air zam-zam. Penulis tidak melayan. Apa akkibatnya? Air zam zam penulis kurang sebotol. Bila ditanya semula, petugas langsung tidak melayan.
Seusai urusan zam-zam kami masuk ke lapangan terbang dan mengagihkan air kepada para jemaah seorang sebotol. Kemudian urusan check in bermula sehingga menjejak jam 11 malam.
Selepas masuk ke balai berlepas, kami diajak untuk makan di lounge oleh rakan setugas. Betapa besarnya nikmat itu. Apatah lagi pesawat kami delay selama 1 jam. Sekitar jam 3 pagi baharu pesawat terbang meninggalkan jeddah.
Sebelum sejam berlepas, makanan dihidangkan. Entah sarapan pagi atau makanan akhir malam. Penulis tidak menghabiskan makanan dek kerana perut masih kekenyangan dan mula merasa tidak selesa. Agak sukar melepaskan hajat besar di dalam kabin pesawat.
Sebaik azan subuh berkumandang, penulis menyelesaikan tuntutan dan kemudian meneruskan tidur. Sekitar jam 10 mungkin, terdapat kekecohan di hadapan kabin tandas. Salah seorang jamaah penulis tidaknsedarkan diri. Ye sejak dari makkah lagi beliau mula menunjukkan kesihatan yang kurang memberangsangkan. Hanya makan ubat tahan sakit sahaja. Di ajak ke klinik ia enggan berbuat demikian. Doktor dari kalangan penumpang cuba dicari. Satu jam kemudian, pilot membuat pengumuman untuk mendarat di hydrabad india. Hati mula bergetar, aku kena stay juga ke?
Kemudian persoalan tersebut terjawab. Salah seorang dari petugas kena bersama pesakit di india kerana pesakit tiada waris yang turut serta.....
Akhirnya penulis dan pesakit ditinggalkan di sini. Dengan menaiki ambulan, kami di bawa ke klinik berhampiran. Penulis hampir berputus asa...tetapi Allah membenci orang yang berputus asa.
Di klinik, ada soalan yang perlu dijawab. Bahasa Inggeris penulis broken, kebanyakan mereka juga broken. Akhirnya, selepas hampir dua jam, penulis perlu membayar kos rawatan dan ambulan bernilai hampir 5K rupee bersamaan RM260 lebih kurang. Mujurlah boleh guna kredit kad.
Kami dibawa ke hospital yang jarak perjalanan 15 minit dari klinik tadi. Disepanjang jalan penulis hampir kemurungan. Manakan tidak, wajah anak isteri telah melambai untuk menyambut kepulangan, tiba- tiba tertahan di bumi india. Hanya seorang diri tanpa ditemani rakan lain. Kad debit maybank pula telah tamat tempoh laku luar negara. Hanya kad kredit sahaja di tangan dengan wang RM150 dan beberapa keping duit riyal saudi. Namun seorang petugas dalam ambulan cuba menenangkan penulis. Penulis akhirnya pasrah...
Di hospital, yang merupakan hospital swasta, penulis sekali lagi perlu membayar fee sebanyak 200 rupee. Then doktor perubatan pun membuat siasatan. Terjumpa seorang dr muslim yang bertugas di bahagian antarabangsa. Beliau bukan doktor perubatan. Beliau adalah doktor falsafah.
Selepas sejam berlalu penulis sekali lagi dikejutkan apabila pihak hospital membuat keputusan memasukkan pesakit ke icu tetapi dengan pembayaran pendahuluan sebanyak 18k!! Mana nak dicari duit sebanyak itu. Terduduk penulis. Maka terpaksa berhubung dengan pihak syarikat, konsulat dan keluarga pesakit. Akhirnya dr muslim tersebut berjaya merundingi pihak MAS dan konsulat Malaysia. Maka persetujuan tercapai untuk memasukkan pesakit ke icu tanpa sebarang pendahuluan. Cuma tidak diketahui apakah episod selanjutnya.
Penulis akhirnya mendapatkan rumah tumpangan berhampiran hospital. Dr muslim menunjuki penulis akan rumah tumpangan termurah. Dek kerana salah faham, penulis telah memasuki rumah tumpangan yang lain.
Rumah tumpangan empat tingkat itu dengan sewa 1500 rupee bagi bilik berhawa dingin atau 1000 tanpa hawa dingin. Penulis memilih bilik dengan penghawa dingin. Wifi percuma disediakan. Masuk ke bilik penulis hanya mampu menangis semahunya mengadu kepada Allah sebagai peneman dalam permusafiran.
Penulis hanya sehelai sepinggang di sini. Seusai solat, penulis keluar untuk mencari sedikit makanan tetapi hanya keraguan yang timbul. Jadi, penulis hanya membeli air mineral dan dua keping coklat sahaja untuk mengalas perut pada waktu malam. Hendak berjalan jauh khuatir keselamatan diri. Sebelum itu penulis diziarahi oleh penggurup wang bergerak. Itu keunikan hydrabad. Dapatlah menulis menukar matawang malaysia dan saudi kepada rupee India.
Dan malam itupun berlalu....
Ulasan