khutbah Jumaat nan layu
Jumaat 18 Syaaban 1444
- Jumaat yang agung .. menghitung langkah menanti kehadiran tetamu agung Ramadhan Al Mubarak yang semakin menghampiri pintu kehidupan. Apakah kita sudah bersedia?
- Boleh jadi khutbah pada minggu hadapan yang merupakan Jumaat terakhir syaaban akan berkisar mengenai pesanan sebelum memasuki gerbang Ramadhan yang harum mewangi;
- Tajuk yang cuba dibicarakan pada minggu ini adalah berkaitan dengan ajaran sesat yang perlu dijauhi dan khatib (dibaca: penulis khutbah) menyenaraikan WAHABI selaku wajah sesat yang wajib dijauhi;
- Terdapat fatwa dari pihak berkuasa yang gagal ditangkap oleh telinga penulis berkaitan kesesatan puak wahabi ini yang sering diulang siar sebagai menyamakan Tuhan dengan makhluk dan menjisimkannya;
- Tidak diketahui pula wahabi mana satu yang dimaksudkan kerana apa yang penulis kenal dari guru² yang sering dilabel selaku penganut wahabi, tidak pernah sekalipun mereka menjisimkan Tuhan yang maha Esa bersalahan dengan yang baharu. Mereka mengajar mengenal Tuhan yang Esa sebagaimana yang disifati diriNya olehNya tanpa sebarang bentuk tafsir, perumpamaan dan sebagainya;
- Kelemahan manusia dalam mengenal Tuhan ialah apabila ia cuba menyoal bagaimana? Contoh soalan bagaimana Tuhan beristiwaa di atas arasy sebagaimana firmanNya yang banyak tercatat dalam mushaf;
- Imam Malek Bin Anas telah menjelaskan perkara ini dan mencela kepada si penanya yang cuba menimbulkan keraguan.Inilah aqidah imam salaf yang empat;
- Tetapi kini, menyifati Tuhan sebagaimana yang disifatiNya sendiri tanpa tahrif (mengubah), ta'thil (menafikan), takyif (bertanya bagaimana) dan tamtsil (menyerupakan) dianggap sebagai ahlul wahabi yang difatwa sesat;
- Negara hujung tanah semenanjung emas ini begitu galak 'menghentam' golongan yang dilabel wahabi dalam siri khutbah Jumaat. Biasanya akan menyusul sebaik tema perayaan yang diada-adakan seperti semasa sambutan maulid, awal muharram, nisfu syaaban dan sebagainya. Meski tidak kedengaran sebarang semboyan yang dibunyikan oleh pihak yang dilabel, tetapi mungkin sebagai langkah untuk menanamkan serta memasak kuat amalan tahunan yang akan terus dilaksanakan hingga kiamat, atau setidak²nya sehingga penobatan Al Mahdi, bagi meneruskan legasi turun temurun, asalkan ada ulama terdahulu yang pernah melaksanakannya, meski Jujungan صلى الله عليه وسلم yang menerima wahyu dari ilahi dan tidak bercakap mengikut nafsu baginda صلى الله عليه وسلم, meski para sahabat yang menyaksikan amal ibadah baginda صلى الله عليه وسلم dengan mata kepala sendiri, meski para tabiin yang berguru dengan para sahabat, meski para tabi'tabiin yang berguru dengan tabiin, TIDAK PERNAH mewarisi amalan yang dilaksanakan dan direkacipta kini, tetapi asal ada SUMBER dari ulama terdahulu tanpa perlu dinamakan siapa, maka sudah cukup untuk boleh diamal dengan bersungguh² tanpa ragu, dan MENENTANG atau cuba MEREMEHKAN amalan tersebut akan dianggap dan dilabel selaku wahabi yang sesat;
- Namun sebenarnya, khatib yang menyampaikan majoriti GAGAL untuk menyampaikan dengan berkesan disebabkan ketiadaan ilmu yang mencukupi untuk memahami tajuk yang hendak disampaikan, ataupun kekurangan ilmu menjadi khatib yang baik;
- Kekuatan suara dan lenggok bahasa serta ketegasan khatib adalah antara yang terpenting disamping tajuk. Meski tajuk hanya seqadar MENJAGA SUNGAI KITA, tetapi jika disampaikan dengan nada berapi, seolah panglima perang yang memberikan arahan menuju ke medan, sudah barang pasti para jemaah akan tertarik dan tidak dihadang oleh perasaan mengantuk bersangatan;
- Namun jika suara khatib lemah gemalai, tanpa tona lengguk bahasa, apatah lagi kurang fasih membaca jawi, maka meskipun tajuknya JIHAD MELAWAN ZIONIS, jemaah akan pasti terbuai mimpi sementara menanti iqamah;
- Pihak berkuasa agama perlu cakna mengenai perkara ini meskipun ianya kelihatan remeh. Antara perkara yang mungkin boleh dicadangkan ialah sebagaimana berikut :-
- Memilih khatib dari kalangan yang benar² berbakat. Satu program khusus ala realiti boleh dilaksanakan untuk mencari bakat khatib sebenar;
- Memberikan latihan pembacaan khutbah yang berkesan;
- Melantik khatib yang bukan hanya dari kalangan imam sedia ada semata²;
- Kepada Allah diserahkan segala urusan
Ulasan