Selepas 20 tahun
6 Safar 1445
- Menjelang waktu dhuha penulis terlibat dengan majlis dan diraikan sebagai salah seorang penerima sijil tempoh khidmat melebihi 20 tahun - suatu tempoh berharga yang agak panjang selaku seorang penjawat awam;
- sebenarnya tempoh sebenar penulis berada dalam perkhidmatan awam telah mencecah ke tahun 25 jika diperkirakan tempoh perkhidmatan kontrak, di beberapa jabatan negeri;
- Penulis pernah dipelawa oleh sahabat mentor sejak seawal tahun 1998 lagi untuk mengisi borang kekosongan jawatan. Waktu itu, penulis hanya berkenderaan kuda besi berkuasa 110 cc sahaja. Jarak dari kediaman penulis ke organisasi ialah sekitar 34km sehala;
- Taraf jawatan yang ditawarkan pada iklan yang dipaparkan ialah sementara. Pada kali pertama, almarhumah ibu penulis menghalang dengan alasan jarak yang agak jauh dengan perjalanan menunggang kuda besi;
- Iklan kali kedua dikeluarkan dengan tawaran jawatan bertaraf sementara juga. Penulis merujuk kepada ketua jabatan lama, pegawai tadbir agama pada ketika itu. Beliau berpandangan bahawa taraf kontrak dan sementara adalah sama. Maka tiada permohonan yang dibuat;
- Iklan kali ketiga sekitar tahun 1999-2000, penulis mengambil keputusan untuk mengisi borang permohonan. Lebih² lagi apabila kedengaran desas desus bahawa pegawai kontrak di jabatan yang tersebut akan ditamatkan perkhidmatan. walau pada asalnya semasa melaporkan diri, janji muluk ditaburkan dengan sebegitu manis untuk mendapatkan taraf tetap;
- Penulis menghantar sendiri borang permohonan ke bangunan pejabat organisasi dimana pejabat pentadbiran sumber manusia terletak di bersebelahan dewan agung lama;
- Permohonan membuahkan hasil dengan panggilan temuduga. Namun penulis tidak berjaya. Antara isi temuduga ialah siapakah nama timbalan MB Negeri Johor?
- Antara tahun 2001 ke 2002 penulis diterima berkhidmat di jabatan lain dengan taraf tetap. Namun, kecintaan terhadap organisasi yang dipohon sebelum ini tetap bergelora, meskipun ditolak. Permohonan kedua menyusul sekitar tahun 2002 dengan harapan agar kali ini cinta akan berbalas jua;
- Temuduga berlaku dan penulis ditemuduga oleh panel yang terdiri dari Ketua Pustakawan, bendahari dan Timbalan Pendaftar. Kali ini ianya membuahkan hasil...
- 15 Februari 2002, Jumaat yang bercahaya, penulis antara yang dipanggil untuk melaporkan diri di pejabat yang terletak di lokasi temuduga pertama yang tidak kesampaian pada ketika itu;
- Dari 17 Feb - 21 Feb, kami berkampung di bangunan tersebut untuk sesi orientasi staf baharu. Penulis masih ingat tidak mempunyai tali leher ketika pegawai ketika itu meminta kesemua staf mengenakan tali leher. Ada seseorang yang telah meminjamkan tali lehernya kepada penulis. Beliau telah pulang ke rahmatullah pada Ramadhan 1443;
- Penulis telah berulang-alik dari pejabat ke rumah yang terletak kira² 34km sehala itu selama 19 tahun. Daripada kereta terpakai proton saga aeroback merah hinggalah ke myvi. Perjalanan memakan masa 40 - 50 minit bergantung kepada keadaan trafik semasa. Ini bermakna penulis menghabiskan masa selama 7,600 jam sepanjang 19 tahun di atas jalan raya yang bersamaan 317 hari;
- Bermula daripada jalan selorong dan kemudian dibuat pembaikan kepada dua lorong. Penulis melalui dan merasai kesemua kesesakan di sepanjang tempoh pembaikan;
- Tempoh yang paling kritikal bermula apabila anak² sedang membesar dan bersekolah, dimana penulis terpaksa berkejaran saban pagi untuk menghantar anak ke sekolah terlebih dahulu dan kemudian baharulah mengemudi kenderaan menuju ke lokasi pekerjaan. Ntah berapa kali kereta disaman kerana kesalahan memandu laju dan kebanyakannya masih belum dijelaskan. Pada ketika itu, masa bekerja bermula seawal jam 8 pagi. Kelajuan 120 ke atas itu biasa berlaku dengan aksi ala pelumba handalan. Ditambah lagi apabila dua lorong sehala siap projeknya;
- Apabila organisasi membuka pejabat cawangan yang berlokasi di pekan satelit, maka proses mengetik kehadiran kelihatan agak lebih mudah kerana route perjalanan akan menemui lokasi pejabat cawangan terlebih dahulu. Meskipun ianya adalah satu kesalahan, tetapi tidak termasuk dalam kategori dosa² besar;
- Bermula dengan gred N6 semasa lantikan pertama, kemudian bertukar kepada N27, kemudian ke gred N29 (hanya angka yang berubah), selepas melalui dua proses temuduga, dinaikkan pangkat ke gred N32, dua kali kandas untuk percubaan ke gred N 36, 6 hingga 8 kali kandas untuk percubaan ke gred N41, dan di tahun perkhidmatan ke 19, Allah telah memberikan rezeki untuk menginjak ke gred N41;
- Pernah berada di lapan pusat tanggungjawab disepanjang 20 tahun berada di organisasi ini, dengan yang paling lama ialah selama 5 tahun dan yang paling singkat ialah dua bulan. Telah merasai kepelbagaian teknik dan bentuk pengurusan dan pentadbiran bos di pejabat dan juga peringkat organisasi;
- Kini berada di pejabat cawangan yang terletak 91km sehala dari rumah kediaman;
- Semakin lama berada di organisasi ini, semakin banyak pula perkara yang baharu diketahui dan semakin banyak perkara yang perlu dipelajari.
- Moga Allah membuka segala pintu keberkatan dan rezki serta limpahan kepada penulis dan rakan² skot.
Ulasan