Ramadhan pertama

Bagi negeri Johor, 1 Ramadhan merupakan hari kelepasan am, yang bermakna staf awam akan menikmati cuti untuk menempuh hari pertama Ramadhan. Sememangnya cuti ini perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh keazaman kita mengharungi Ramadhan pada hari-hari seterusnya. Ramadhan yang mengandungi seribu macam ganjaran dan tawaran dari pemilikNya.

Kita sememangnya mempunyai peluang yang sama dengan generasi awal Islam. Cuma persoalannya ialah adakah kita mahu bersungguh-sungguh mengecap dan menikmati setiap saat keindahan di madrasah ini atau kita hanya membiarkan setiap detik berlalu dengan berbual kosong, menonton siaran televisyen yang besifat lagha, chatting di internet, lebih-lebih lagi melibatkan pasangan chatting berlainan jantina dan sudah barang pasti bukan mahram, bermain game, mendengar lagu-lagu cinta dan pemujaan wanita ataupun hero atau sebarang aktiviti lagha yang merugikan. Mungkin bagi sesetengah pihak, dengan menghabiskan masa sebegini, tiba-tiba ahh..dah masuk waktu...tanpa sedar..selesailah sudah puasa mereka...tetapi jika diperhalusi, ianya sangat merugikan kerana setiap detik Ramadhan mengandungi banyak kelebihan dan rahsia yang perlu digali dan dihayati dengan sepenuhnya.

Ramadhan pertama penulis di rumah pada awal pagi dan kemudian bergerak ke pusat bandar untuk menyelesaikan beberapa perkara yang berkaitan. Kemudian bergerak pulang hanya menjelang Asr. Selepas Asr, bergerak ke bazaar Ramadhan..

Bazaar Ramadhan yang berjaya menjadi 'trade mark' setiap kali hadirnya Ramadhan. Pelbagai jenis makanan dijual di sana. Bayangkan sahaja apa yang saudara-saudari mahu, Insya Allah akan ditemui di sana.

Di bazaar ini juga, pelbagai jenis manusia akan kita temui sama ada kita suka ataupun tidak dengan situasi itu. Peragaan aurat yang sepatutnya ditutup, peragaan aurat dek kerana kesilapan cara menutupnya, terlalu banyak berlaku di situ. Ianya juga boleh menjadi medan ujian untuk sesiapa sahaja yang cuba membaiki diri. Sepatutnya tidak perlu hadir ke lokasi seumpama ini. Namun dek kerana tugasan yang diberikan, maka ia tetap dilaksanakan.

Iftaar pertama kami sekeluarga ialah di rumah hijau. Suasana kali ini agak berbeza di mana sebaik sahaja waktu iftaar, selepas menjamah sedikit hidangan (sedikit ke?) kami bergerak ke masjid berhampiran.

Sebagaimana lazimnya di surau atau masjid yang pernah dihadiri, saf solat maghrib bulan Ramadhan merupakan saf paling sedikit, kurang dari satu saf penuh, berbanding saf solat maghrib di bulan selain ramadhan yang merupakan juara di antara saf untuk kelima-lima waktu solat berjamaah.

Oh ya, Subuh 1 Ramadhan memperlihatkan jamaah yang berganda, mencapai enam saf dengan satu saf seramai 15-18 orang. Alangkah moleknya jika ianya berterusan sepanjang tahun...

Solat sunat tarawih sudah barang pasti lebih ramai daripada itu. Penulis belum lagi hadir solat tarawih di mana-mana masjid atau surau. Seqadar dapat hadir jamaah Isya' sudah cukup mengharukan dan bersyukur.

Penulis sememangnya jarang hadir solat tarawih berjamaah, kecuali jika terlibat dengan program ataupun bertugas. Penulis masih memegang butiran riwayat SAHIH BUKHARI

Jilid: 8
No: 134
Dirawayatkan oleh Zaid bin Thabit

Rasulullah membuat sebuah bilik kecil (dengan tikar yang dibuat dari daun palma). Rasulullah keluar (dari rumahnya) dan bersolat di dalam bilik kecil itu. Beberapa orang lelaki turut bersolat bersama-sama beliau. Malam keesokannya mereka datang lagi untuk bersolat, tetapi Rasulullah tidak keluar. Oleh itu mereka berteriak-teriak dan mengetuk pintu rumah Rasulullah dengan batu. Rasulullah keluar kepada mereka dalam keadaan marah dan berkata: "Kamu mahu menggesa (Tarawih itu di dalam masjid) dan aku bimbang kalau solat (Tarawih) akan menjadi wajib keatas kamu. Maka kamu semua lakukanlah solat ini dirumahmu, kerana solat yang lebih baik bagi seseorang itu ialah yang dilakukan dirumahnya, kecuali solat wajib Jumaah."


Saiyidatina Aisyah r.a telah meriwayatkan sebuah hadith yang bermaksud:

"Pada suatu malam Nabi Muhammad s.a.w. solat dimasjid, maka para sahabat mengikuti solatnya. Pada malam berikutnya, Baginda s.a.w. solat lagi dimasjid dan para sahabat yang mengikutinya bertambah ramai. Lalu mereka berhimpun pada malam ketiga atau keempat, tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tidak keluar kemasjid untuk solat bersama mereka. Pada sebelah paginya Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya aku melihat apa yang kamu kerjakan dan tidak ada sesuatu apa pun yang mencegah aku untuk keluar mengerjakan solat bersama kamu semua kecuali aku khuatir kalau- kalau kamu menganggap solat itu diwajibkan atas kamu." (Riwayat Muslim)


Abu Hurairah r.a. meriwayat sebuah hadith yang bermaksud:

"Nabi Muhammad s.a.w. keluar kemasjid. Kebetulan pada malam bulan Ramadhan itu para sahabat mengerjakan solat ditepi-tepi masjid. Baginda s.a.w. bertanya: 'Siapa mereka itu?' Ada yang menjawab" 'Mereka adalah para sahabat yang tidak dapat membaca al-Quran, tetapi Ubai bin Kaab solat ditengah-tengah mereka dan mereka ikut solat bersamanya.' Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: 'Mereka telah mendapatkan pahala dan sebaik-baik amalan adalah apa yng mereka lakukan itu." (Riwayat Abu Dawud)


al-Bukhari dan Muslim maksudnya: "Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. keluar pada waktu tengah malam pada bulan Ramadhan kemudian solat dimasjid. Beberapa orang mengikuti solat Baginda Rasulullah s.a.w.. Pada sebelah paginya mereka menceritakan perkara tersebut kepada teman-teman mereka.

Maka pada malam hari berikutnya para sahabat yang berhimpun lebih ramai lagi. Pada malam yang kedua ini Nabi Muhammad s.a.w. keluar untuk mengerjakan solat dan para sahabat pun mengikuti solatnya. Pada sebelah paginya para sahabat menyebut-nyebut perkara itu, maka pada malam ketiga orang-orang yang berhimpun dimasjid bertambah ramai lagi. Nabi Muhammad s.a.w. keluar kemasjid mengerjakan solat pada malam ketiga itu dan para sahabat mengikutinya.

Kemudian pada malam yang keempat, masjid tidak lagi muat untuk menampung orang ramai yang datang berhimpun tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tidak keluar kemasjid. Beberapa orang sahabat ada yang melaungkan azan "al-solah! al-solah!", tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tidak keluar juga. Apabila masuk waktu subuh, barulah Nabi Muhammad s.a.w. keluar kemasjid. Setelah selesai solat Subuh, Nabi Muhammad s.a.w. menghadap para sahabat, membaca syahadat dan kemudian bersabda: 'Sesungguhnya aku bukannya tidak tahu bagaimana keadaan kamu malam tadi, akan tetapi aku khuatir kalau-kalau kamu menganggap bahawa hal ini (solat malam Ramadhan) diwajibkan atas kamu, maka kamu tidak mampu mengerjakannya.'

Dalam riwayat yang lain disebutkan: "Sehingga Nabi Muhammad s.a.w. wafat keadaan masih tetap seperti itu."

Walau bagaimanapun penulis tidak berani hendak menyanggah acara tarawih yang dilaksanakan sekarang kerana ianya juga mengandungi banyak kelebihan dan kebaikan. Kita semua faham bahawa ianya merupakan asas yang diletakkan oleh Umar Al Khattab dengan melantik Ubai b Kaab selaku imam sebagai riwayat berikut :

Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdurrahman bin Abdul-Qari, beliau berkata:

"Saya keluar bersama Umar ibnu al-Khattab pada suatu malam bulan Ramadhan. Kebetulan pada saat itu orang ramai sedang mengerjakan solat secara berjama'ah dalam beberapa kelompok. Ada pula seorang yang bersolat secara bersendirian dan ada pula yang solat keseorangan tetapi kemudian diikuti oleh orang lain sehingga menjadi suatu kumpulan. Melihat keadaan itu Umar berkata: 'Saya berpendapat, sekiranya mereka ini dihimpunkan dibawah satu imam, nescaya ia adalah lebih baik." Kemudian Umar melaksanakan pendapatnya dan menghimpunkan orang ramai untuk mengerjakan solat dibawah seorang imam iaitu Ubai bin Ka'ab."

Seterusnya Abdurrahman bin Abdul Qari menerangkan bahawa pada malam hari yang lain, dia keluarlagi dengan Umar dan pada ketika itu umat Islam mengerjakan solat dibelakang seorang qari. Maka Umar berkata: "Sebaik-baik bid'ah adalah ini. Adapun orang yang tidur pada awal malam seraya bermaksud akan mengerjakan solat lail (Tarawih) pada malam hari, yang demikian itu adalah lebih utama daripada orang yang mengerjakannya pada awal malam. Akan tetapi umat Islam mengerjakan pada awal malam." (Dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari)


Berkemungkinan besar kebimbangan Rasulullah SAW telah berlaku kini kerana manusia lebih memuliakan solat tarawih daripada solat-solat fardhu yang lain secara berjamaah. Alangkah bagusnya kalau solat Subuh, Zuhur, Asr, Maghrib di surau dan masjid sama kuantiti dengan jamaah solat tarawih berjamaah.

Bahkan ada individu yang hadir semata-mata untuk solat tarawih sahaja dan tidak menyertai jamaah solat isya'

Ya Allah..berilah kami kekuatan dalam menjalani Ramadhan ini..

Ulasan

Azam berkata…
Alhamdulillah...dapat juga ilmu...doakan kwn menjadi org yag mengimarahkan mesjid yer....

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol