Penghulu : Pengalaman emas dalam kehidupan singkat

Penulis menjawat jawatan selaku penghulu mukim tidak begitu lama. Tidak sampai pun tempoh setahun. Betullah seperti ramalan nakal penghulu mukim 8..penghulu pertama yang bertugas dalam satu mukim dengan penulis. Beliau meramalkan bahawa penulis tidak akan lama bertugas selaku penghulu. Tatkala ia melafazkan perkataan berbau sumpahan itu, penulis hanya tersenyum di dalam hati. Tidak terlintas pula dalam fikiran penulis untuk meninggalkan jawatan tetap seperti ini.

Ya ..mungkin kebanyakan di antara kita gagal untuk mentafsir tugas sebagai seorang penghulu. Kebanyakan di antara kita beranggapan bahawa Penghulu itu adalah ketua kampung manakala ketua kampung itu adalah penghulu. Tafsiran tersebut adalah terlalu sempit dan salah sama sekali!!

Ketua kampung atau istilah di negeri Darul Ta'zim ini dikenali sebagai Pak Naib...yang sebenarnya bermakna Naib Penghulu, merupakan manusia yang dilantik oleh Pejabat Daerah dengan sokongan dan dokongan ADUN untuk mengetuai beberapa buah kampung yang membentuk sebuah mukim. Dalam sebuah mukim terdapat beberapa buah kampung. Kampung-kampung ini diketuai oleh beberapa orang Pak Naib. Seorang Pak Naib mungkin mengetuai sekurang-kurangnya sebuah kampung besar, atau kadang-kadang sehingga mencapai lima hingga lapan buah kampung kecil.

Persekutuan kampung-kampung kecil ini membentuk sebuah mukim yang diketuai oleh seorang penghulu. Sebelum ini, jawatan penghulu adalah merupakan jawatan yang diwarisi turun temurun yang mana mereka ini di lantik oleh Sultan. Selepas era kemerdekaan, jawatan penghulu kemudiannya menjadi salah satu jawatan kerajaan negeri. Jawatan penghulu pernah melalui proses pengundian suatu ketika dahulu, sebelum ianya dimasukkan dalam salah satu perjawatan awam...

Ketua kampung menerima elaun yang tidak berapa besar daripada Pejabat Daerah. Penghulu semasa zaman penulis perlu berkelulusan minimum diploma. Mereka berpebdapatan tetap dengan menikmati elaun yang sama seperti penjawat awam yang lain dengan kelebihan elaun mukim sebanyak RM150.00 dan elaun keraian RM50.00 ....



Penghulu mukim di berikan kemudahan mendiami rumah dalam kompleks penghulu. Di mukim lapan, kompleks penghulu mengandungi tiga buah rumah, iaitu rumah kediaman penghulu yang agak besar, rumah papan dan juga batu pada bahagian dapur yang selama ini dibiarkan kosong, rumah pegawai Jabatan Haiwan dan juga rumah Pegawai Pertanian.

Terdapat juga sebuah pejabat penghulu yang mengandungi pejabat penghulu dan juga ruang mesyuarat. Pejabat penghulu dilengkapi dengan sebuah meja dan kerusi beserta sebuah mesin taip besar. Kemudahan komputer tidak wujud lagi semasa itu di pejabat penghulu...

Penulis tidak menginap di kompleks penghulu sepanjang tempoh berkhidmat selaku penghulu. Meskipun penghulu senior mengarahkan penulis menginap disitu, namun penulis tetap berulang dari Kluang ke mukim lapan.

Sepanjang berada di mukim lapan, penulis sempat juga menghadiri beberapa siri mesyuarat di pejabat daerah bersama ADUN dibawah JPMM. Tetapi disebabkan wujud penghulu I, maka penulis hanya bertindak sebagai pembantu beliau sahaja.

Sememangnya kehadiran dua penghulu dalam satu mukim bukanlah bertujuan untuk menjadikan penghulu muda selaku pembantu kanan penghulu I. Hasrat pihak pejabat daerah ialah untuk memberikan kemudahan kepada penghulu I yang menguasai mukim yang terlalu besar agar tugas mereka ini dibahagi-bahagikan..

Tetapi realiti yang berlaku tidak begitu. Acapkali penghulu I akan menjadikan penghulu II hanya selaku pembantu beliau dan mereka sering bersikap enggan atau mungkin kurang percaya untuk memberikan sebahagian dari tugasan dan tannggungjawab kepada penghulu II..

Antara perkara yang dipesankan oleh penghulu senior di mukim tersebut agar berbaik-baik dengan ADUN dan juga AP. Oleh sebab itu, penulis pernah membuat lawatan mesra ke ibu pejabat parti di pekan yang menjadi nadi mukim lapan. Bertemu dengan YB AP dalam suasana yang agak mesra juga. Namun biasalah orang poltik mana mungkin tidak bercakap mengenai politik. Pada waktu itu angin reformasi bawaan DSAI masih lagi hangat. Maka pertemuan seorang penjawat awam kerajaan negeri yang seharusnya menyucikan minda dan garis pandangannya daripada diwarnai politik dengan seorang politikus pada suatu pagi nan indah itu berlangsung seolah-olah dalam satu majlis pencerahan poltik pemerintah. Penulis tidak langsung boleh menyampuk kisah yang didedahkan. Hanya angguk dan dengar sahaja celoteh beliau..

Juga titah penghulu senior ialah tidak perlu hendak sibuk-sibuk untuk membaca khutbah di masjid pada hari Jumaat kerana masih banyak lagi tugas lain yang boleh dibuat. Pada sudut pandangan penulis pula, adalah lebih molek untuk penghulu baru memperkenalkan diri mereka di masjid pada setiap jumaat dengan membuat jelajah ke masjid sambil membaca khutbah dalam kampung-kampung di mukim dan kemudiannya beramah mesra dengan ahli karyah.

Selepas lebih kurang dua minggu, penulis telah mendapat arahan dari pejabat daerah untuk penulis bertugas di pejabat Ayer Hitam. Namun ianya tidak langsung dipersetujui oleh penghulu senior yang mahupun penulis menjadi penunggu di pejabat penghulu mukim lapan.

Pejabat penghulu mukim lapan tidak menjanjikan apa-apa penambah baikan tugasan kepada penulis. Pernah juga dalam seminggu penulis cuba menjadi penunggu di situ. Tiada apa yang menarik berlaku di situ. Tiada orang kampung yang datang. Kebanyakkan mereka masih datang menemui penghulu senior di kediaman beliau jika berlaku sesuatu. Hanya pernah ada seorang makcik yang datang untuk mendapatkan bantuan. Penulis memberikan tunjuk ajar kepada beliau untuk mendapatkan bantuan di pejabat agama daerah.

Akhirnya, penulis terpaksa akur kepada kehendak pejabat daerah. Maka rutin penulis mula berubah. Memulakan tugasan pagi di pejabat kecil majlis daerah di pekan Ayer Hitam. Disitu hanya ada meja dan kerusi sahaja yang dikhaskan untuk penghulu juga terdapat beberapa kerusi meja lain untuk kakitangan majlis...

Duduk di situ juga sebenarnya agak membosankan kerana jarang sangat penduduk yang mahu bertemu dengan penghulu. Mereka selalunya akan lebih mendampingi Pak Naib. Jika sekiranya masalah yang dibawa tidak boleh diselesaikan di peringkat Pak Naib, maka baharulah ianya dibawa ke pengetahuan penghulu tetapi ianya sangat jarang berlaku..

Jadi sebenarnya apa bidang tugas sebenar seorang penghulu? Mengetuai mukim dan juga boleh membawa permasalahan besar ke pejabat daerah...termasuk permohonan kewangan...

Di Ayer Hitam penulis mula cuba bergaul dengan masyarakat persekitaran. Bermula dengan membuat rondaan di kampung persekitaran dan juga berkenalan dengan pak naib dan juga JKKK yang berhampiran. Disini juga penulis dipertemukan dengan perkampungan yang mempunyai sawah.

Pertemuan dengan penghulu-penghulu lain setiap hari Jumaat semasa majlis membudayakan Al Quran telah membuahkan sebuah cadangan agar penulis masuk ke mukim sendiri yang berkebetulan mempunyai kekosongan. Maka pertemuan dengan Pegawai Daerah telah membuahkan hasil. Sekitar bulan September 2001, penulis bertukar ke mukim tujuh...

Di sini penulis telah merancang agenda sendiri... perkara pertama yang dilakukan ialah pelaksanaan membaca khutbah jumaat di setiap masjid dalam mukim. Masjid pertama ialah di Sri Mendapat. Dan sebenarnya masjid-masjid di dalam mukim ini turut dihadiri oleh jamaah wanita semasa solat Jumaat.  Usai solat Jumaat, ucapan aluan diberikan oleh penulis.

Dan begitulah rutin yang berlaku seterusnya. Penulis akan menghubungi ketua kampung terlebih dahulu sebelum hadir ke masjid pada hari Jumaat. Penulis berazam untuk meneruskan perkara ini disepanjang menjawat jawatan ini.

Meskipun penulis sebenarnya amat gembira dengan jawatan yang mencabar ini, penulis akur juga dengan taqdir yang berlaku. Apabila mendapat tawaran jawatan di organisasi lain, penulis menerimanya juga, tetapi selepas mendapat pandangan dari qadhi salah sebuah daerah. Beliau menasihati penulis agar menerima tawaran tersebut disebabkan oleh jawatan penghulu banyak berlaku perkara syubhah...

Ya ...mungkin qadhi tersebut boleh membaca diri penulis yang lemah meskipun ada keazaman untuk membuat perubahan di dalam mukim. Benar kita mempunyai misi yang amat jelas. Kita ada perancangan dan keazaman untuk melaksanakan trasformasi kerohanian di dalam mukim. Namun ianya memerlukan sokongan padu dari para ketua kampung dan juga masyarakat .. Jika hanya kita seorang sahaja ianya akan kurang memberangsangkan...

Hingga ke saat ini, jika ditanya memang ya penulis akan merasa agak menyesal kerana bertukar profesion..tetapi penulis yakin langkah yang diambil ini sudah ditetapkan oleh tuhan sebagai taqdir dan tidak rugi rasanya jika kita mendapat dan menerima pandangan ulama...

Wallahu a'lam





Ulasan

n berkata…
Salam tuan, pengalaman di atas amat menarik. Ape yang dimaksudkan dengan "syubhah" dalam penulisan tuan ya? Jika tidak keberatan mohon nasihat dan sedikit panduan sebagai penghulu ni sebab saya baru ditawarkan jawatan tersebut, terima kasih.
abu uzair berkata…
Tahniah kerna berjaya menjawat jawatan penghulu. Takziah kerna memikul beban kepimpinan dalam mukim disebabkan tuan perlu bersedia menjawab dihadapan rabbul jalil kelak. Secara idealnya, tuan mungkin boleh mempraktikkan apa yang pernah dilaksanakan oleh Umar Ibn Khattab semasa berkuasa di Madinah, senantiasa cuba untuk merasai denyut kepayahan rakyat dan memperjuangkannya.
Secara realitinya, tuan boleh berpegang kepada konsep sayangi yang muda, hormati yang tua.
Perbanyakkan prog yang mesra syariah kerna ia akan memikat hati golongan senior di segenap kampung di bawah mukim. Keraplah membaca khutbah setiap jumaat di serata mukim agar penduduk mukim mudah mengenali tuan.
Hubungan dengan YB juga kena dijaga tetapi jangan sampai kita menjadi orang suruhan mereka. Kita juga merupakan pemimpin yang memiliki misi dan visi tersendiri

Syubhah yang dimaksudkan ialah perkara-perkara yang samar-samar antara halal dan haram. Rasul SAW mengsyorkan agar kita meninggalkan perkara syubhah..

wallahu a'lam
n berkata…
Alhamdulillah...terima kasih atas panduan dan ingatan tuan. Amat berat tanggungjawab yang akan saya pikul baik di dunia dan di akhirat. Sebagai seorang penimpin masyarakat di zaman moden ini banyak cabaran dan dugaan yang akan ditempuhi. semoga Allah sentiasa memberi petunjuk dan hidayah dalam menjalankan amanah ini. Amin.

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol