Bila khatib hendak transform?
Sudah agak lama tidak bercerita kisah solat Jumaat. Sebetulnya penulis berada di luar qaryah untuk beberapa Jumaat ini. Sudah agak lama tidak solat di masjid qaryah sendiri.
Kali ini penulis berkesempatan solat Jumaat di Masjid Bandar Paloh. Mungkin ramai di kalangan kita yang jarang mendengar nama Paloh. Banyak juga kawasan di negara ini yang dinamakan dengan Paloh. Masjid ini terletak di dalam Mukim Paloh daerah Kluang Johor.
Minggu sebelumnya penulis berkesempatan solat Jumaat di Masjid Bandar Baru Uda. Masjid yang besar dan tersergam indah ini mempunyai bilangan jamaah yang agak ramai. Menariknya, jamaah untuk solat biasa juga boleh mencapai hingga ke lima saf dengan setiap saf hampir menampung kira-kira 100 orang lelaki. Ini adalah anggaran pada pandangan penulis sahaja. Mungkin jumlah iu lebih kecil atau lebih besar untuk kiraan jamaah mengikut saf.
Solat Jumaat di Jamek Sultan Ibrahim Ayer Hitam yang terletak di atas bukit tengah pekan Ayer Hitam agak menarik. Meskipun bangunan masjid tidak sebesar masjid BBU yang turut dipasang dengan penghawa dingin di dalam ruang solat, namun masjid yang agak bersejarah itu mampu menggamit memori kemegahan dan keagungan masjid-masjid lama di negeri hujung benua selatan itu.
Keunikan masjid ini ialah ianya senantiasa terbuka dan pintunya tidak pernah ditutup. Ertinya jamaah boleh pada bila-bila masa sahaja masuk untuk beriktikaf di dalam masjid, berbanding masjid-masjid moden yag kerap dikunci rapat kecuali pada waktu solat, mungkin khuatir kehilangan barangan berharga di dalam bangunan masjid.
Sememangnya terdapat perbezaan ketara antara ketiga-tiga masjid yang diziarahi, khususnya dalam hal pembacaan khutbah. Medium khutbah ini sepatutnya diuruskan dengan lebih baik oleh para pentadbir agama guna untuk menjayakan misis sebenar dakwah. Janganlah dek kerana urusan khutbah ini merupakan program mingguan biasa, maka pihak berkuasa agama melihatnya sebagai asal ada sahaja tanpa membuat pemantauan yang sebenar.
Medium khutbah sebenarnya amat mempengaruhi qaryah yang ada. Khatib yang benar² bersedia dan berwibawa sahaja yang mampu menarik anak qaryah untuk mendengar dan menghayati khutbah Jumaat. Oleh kerana negara demokrasi ini meletakkan urusan agama di pundak pihak penguasa agama mengikut negeri, maka urusan khutbah begitu dipantau dari segi isi khutbah SAHAJA hinggakan pernah teks khutbah mengenai cintai sungai kita juga turut dibaca oleh khatib yang akur dan patuh serta bimbang akan kehilangan jawatan(?)...
Isi khutbah selalunya dipantau khususnya untuk mengelakkan penyelewengan akidah, penyelewengan politik serta menyentuh batang tubuh pemerintah. Oleh sebab itulah, teks khutbah biasanya telah disediakan lebih awal dan akibatnya isi khutbah akan menjadi layu apabila tiba tarikh untuk dibaca dan kerap tertinggal dari membicarakan mengenai isu² semasa, walhal semangat khutbah Jumaat yang sebenar ialah membicarakan isu² semasa yang berlaku di sekitar qaryah.
Sebagai contoh khutbah yang dibaca di masjid jame Bandar Paloh pada tengahari Jumaat pada 4 September 2015 yang membicarakan mengenai IS dan keganasan. Hal ini jika dilihat dari kacamata Politik Antarabangsa ianya adalah isu global yang mungkin jauh daripada perhatian masyarakat sekitar, bahkan kadangkala tidak difahami secara jelas akan kisah sebenarnya, namun tetap dibacakan dek kerana teks tersebut telah ditulis dan ditetapkan tarikh pembacaannya, walhal isu semasa yang mungkin paling baik untuk dieketengahkan ialah bagaimana hendak mengajak anak² qaryah kembali memakmurkan masjid.
Khatib yang kreatif dan mempunyai visi yang jelas, setidak-tidaknya akan cuba mengubahsuai teks yang ada tanpa menghilangkan maksud asal bagi menjadikannya lebih dekat dengan masyarakat di persekitaran. Mungkin pada saat ini perkara paling relevan yang perlu diketengahkan ialah isu rasuah, integriti dan sebagainya. Keganasan yang cuba diketengahkan dalam khutbah minggu ini sebenarnya boleh juga dikaitkan dengan kegagalan masyarakat untuk membetulkan permasalahan sebenar yang timbul seperti isu rasuah, penyelewengan, kegagalan melaksanakan integriti dan sebagainya. Apabila masyarakat menjadi semakin bosan dengan isu² yang gagal diselesaikan melalui elemen yang sedia ada, maka dikhuatiri suatu ketika nanti masyarakat mula memilih jalan lain yang difikirkan lebih singkat untuk keluar dari permasalahan yang menghimpit ini. Akhirnya, apabila anasir IS ini mula menawarkan alternatif, dengan mudah dan rela hati masyarakat menyambut baik gerakan ini dan mengalu-alukannya.
Begitulah dengan teks khutbah pada minggu² akan datang. Tidak perlu sang khatib terus mencari teks lain yang bukan dikarang oleh pihak penguasa agama sebagai alternatif. Cukuplah dengan teks yang ada tetapi diubahsuai dengan sebaik mungkin. Khatib perlu lebih kreatif dan berinovasi dalam menjayakan kerja menarik khalayak setiap Jumaat dan juga pada dua hari raya.
Namun ada kalanya, tidak dinafikan terdapat juga teks khutbah pada minggu² tertentu yang agak galak dan daring. Malangnya, sang khatib yang ada pula kurang wibawa. Dengan keadaan yang agak uzur, suara yang perlahan dan ada kalanya tersekat-sekat hingga kurang jelas audionya menyebabkan anak² qaryah tetap menjadi liar dengan tidur, atau tidak masuk ke masjid sebelum iqamah hingga sanggup berbual kososng di atas motosikal atau dibelakang bangunan masjid sementara menantikan khatib menamatkan sesi khutbah.
Maka sebagai solusinya, untuk mentransformasi khutbah agar menjadi medium dakwah mingguan terbaik ialah sebagaimana berikut :-
a. Melantik dan memperbanyakkan khatib² jemputan di setiap qaryah dengan mendapatkan khatib dari kalangan yang berwibawa serta mempunyai suara yang mantap, berpengetahuan luas dan berpotensi. Proses ini boleh dilaksanakan di peringkat masjid qaryah sahaja dengan saringan oleh pihak berkuasa agama daerah;
b. Mewujudkan teks khutbah yang lebih mesra jamaah,telus, terbuka dan lebih terkini serta berinformasi juga tidak terlalu terikut-ikut dengan rentak golongan yang cuba mendapatkan sesuatu dari pihak pemerintah;
c. Bekerjasama di antara pimpinan masyarakat, pimpinan masjid dan juga penguasa agama untuk membentuk satu jawatankuasa khas yang akan memberikan solusi serta mencadangkan teks² khutbah terkini untuk dimajukan kepada pihak berkuasa agama daerah;
d. Pihak berkuasa agama memberikan kuasa kepada pentadbir agama daerah untuk menggubal sendiri teks khutbah kerana dilihat lebih dekat kepada masyarakat dan mempunyai informasi yang lebih dekat dengan permasalahan setempat.
Moga² memberi manfaat kepada semua, Insya Allah
Ulasan