Jom masuk syurga ...
Satu ketika tatkala semua sahabat sedang duduk bersama² Rasulullah SAW di dalam masjid, tiba-tiba baginda bersabda yang bermaksud,
"Sebentar lagi akan muncul ahli syurga.."
Maka beberapa detik kemudian masuk seorang pemuda dari pintu masjid yang kelihatan biasa-biasa sahaja. Bukan dari kalangan sahabat besar ataupun dari kalangan yang kelihatan kuat beribadah.
Keesokan harinya, Rasulullah SAW menyatakan hal yang sama, dalam keadaan para sahabat juga sedang duduk bersama-sama baginda di dalam masjid. Dan selepas beberapa deik, pemuda semalam yang dijamin syurga oleh baginda SAW muncul lagi di muka pintu masjid dan masuk ke dalamnya.
Pada hari ketiga, baginda mengucapkan jua hal yang sama, dan para sahabat pun ternanti-nanti siapakah gerangan yang dijamin syurga itu, maka kelihatan sekali lagi sang pemuda semalam dan juga kelmarin muncul di muka pintu masjid dan masuk ke dalamnya.
Seorang sahabat, Muaz b Jabal, begitu kuat keinginannya untuk mengetahui siapakah pemuda yang dijamin syurga itu dan apakah amalan yang dilakukannya. Maka dia bersegera menemui pemuda tersebut,
"Wahai orang muda....aku ingin menjadi tetamumu untuk beberapa malam. Sudikah kau menerima ku?"
Orang muda itu dengan gembira menerima permintaan Muaz...
Maka bertamulah Muaz di rumah pemuda tersebut. Muaz mendapati amalan pemuda itu biasa-biasa sahaja. Tiada yang istimewa. Di waktu siangnya, dia tidak pula berpuasa sunah seperti beberapa sahabat lain. Tiada pula kelihatannya dia menunaikan solat dhuha. Pada sebelah malamnya, tidak pula kelihatan dia bangun untuk qiyam...
Maka selepas tiga hari, Muaz akhirnya meminta izin untuk kembali. Namun sebelum berangkat, beliau berkata,
"Wahai saudaraku. Aku berterima kasih di atas layananmu sepanjang berada di rumahmu. Aku ini sebenarnya ingin melihat siapakah sebenarnya dirimu yang telah dijanjikan oleh Nabi SAW sebagai penghuni syurga. Lalu aku dapati kau berbuat biasa sahaja. Tiada sebarang apa yang kelihatan padaku terdapat keistimewaan. Maka ceritakan padaku apakah amalmu yang menyebabkan kau dijamin oleh baginda?"
Pemuda tersebut terdiam seketika. Selepas beberapa detik, dia berkata,
"Aku bukanlah seorang yang kuat untuk berpuasa dan juga solat malam. Namun aku cuba mengamalkan tiga perkara sejak beberapa hari ini iaitu
1. Aku berusaha untuk tidak menyakiti orang lain yang berada di sekelilingku;
2. Aku berusaha untuk tidak marah serta mudah memaafkan orang;
3. Aku berusaha untuk menyambungkan silaturrahim
Maka tergamam akan Muaz dan berkata, engkau benar ahli syurga...itu adalah amalan-amalan yang agak sulit untuk diamalkan..
Diadaptasi dari kata-kata Al Fadhil Ustaz Zul Ramli Razali Naqib Usrah Nurani terbitan radio IKIM.FM pada 6 Mei 2016 jam 5.15 hingga 7 malam, yang memetik hadith berkaitan yang diriwayatkan oleh Imam Turmizi
Wallahu a'lam
Ulasan